- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Tidak seperti kita pada
hari ini yang mempunyai bermacam-macam teknologi astronomi seperti satelit yang
mampu membantu kita memetakan setiap inci muka bumi, tamadun-tamadun awal manusia
hanya bergantung sepenuhnya pada deria mata dan semangat meneroka untuk
mengetahui bagaimanakah rupa dunia yang dihuni oleh mereka.
Berbekalkan sumber dan
keupayaan yang terhad, pandangan alam mereka terhadap dunia sekeliling dicurahkan
ke dalam peta-peta dunia yang sebahagiannya dapat diwarisi oleh kita sehingga
ke hari ini. Setiap tamadun, baik Babylon, Yunani, mahupun Rom, mempunyai
kefahaman yang tersendiri tentang bentuk dunia, termasuklah apa yang berada di
penghujungnya.
TAMADUN BABYLON: TUJUH
DARATAN PENGHUJUNG DUNIA
Peta dunia tertua
setakat yang pernah dijumpai datangnya dari Babylon. Peta tersebut
menggambarkan dunia ini berbentuk seperti sebuah hamparan cakera yang dikelilingi oleh
lautan, dengan Babylon terletak di tengah-tengah dunia. Pada lingkaran luar
lautan itu pula, terdapat tujuh daratan yang dipenuhi dengan segala makhluk
menakutkan, termasuklah Humbaba, raksasa yang diceritakan di dalam Epik
Gilgamesh. Menurut mereka, daratan-daratan tersebut merupakan penghujung dunia
dan berada di luar jangkauan manusia. Ia berbentuk segi tiga, dan bucunya pula
tidak berpenghujung: umpama ruang tanpa batasan. Suasana di sana ada yang
diselubungi kegelapan penuh dan ada pula yang terang-benderang.
Peta dunia kurun ke-6 SM dari tamadun Babylon
Walaupun peta dunia
Babylon ini dihasilkan pada kurun ke-7 atau ke-6 SM, kuneiform yang diukirkan
padanya menyatakan bahawa ia hanyalah salinan bagi sebuah tablet lama berusia
200 tahun lebih tua. Bagaimanapun, kefahaman tentang bentuk dunia yang
sedemikian sudah pun berakar-umbi dalam tamadun Babylon jauh lebih awal. Ini
kerana salah sebuah daratan tidak bersempadan yang digambarkan pada peta
tersebut pernah muncul dalam tablet Epik Gilgamesh yang berusia sekitar 2100
SM.
TAMADUN YUNANI:
PENGHUJUNG DUNIA DIPENUHI MAKHLUK-MAKHLUK ANEH
Sebelum Pythagoras buat
pertama kalinya mengutarakan pendapat bahawa bumi ini berbentuk sfera, masyarakat
Yunani memandang dunia seperti hamparan cakera dengan Athens terletak di
pusatnya. Benua Afrika, Eropah, dan Asia kemudian membentuk kawasan sekeliling,
sambil kesemua daratan itu sendiri dilingkari oleh lautan luas. Dalam erti kata
lain, jika seseorang mengembara jauh ke ceruk pedalaman Afrika, Eropah dan
Asia, mereka hanya akan menemukan lautan luas yang tidak berpenghujung. Menurut
mereka lagi, semakin jauh mereka dari bumi Yunani, semakin gasar penghuninya
dan semakin banyak pula makhluk-makhluk aneh yang dapat ditemui.
Bahkan sewaktu mereka
mula meneroka dunia dan melihat sendiri keadaannya dengan mata kepala,
kepercayaan bahawa bumi ini berbentuk seperti hamparan cakera masih tertanam teguh dalam
pemikiran mereka. Misalnya sewaktu Ctesias pulang dari India, beliau mendakwa
pernah menyaksikan manusia berkepala anjing, harimau berwajah manusia, dan
manusia berkaki gergasi. Kononnya, India adalah salah sebuah daratan di
penghujung dunia.
Kaki manusia bersaiz gergasi, yang didakwa oleh Ctesias
Kenyataan ini disokong
oleh Herodotus yang menyifatkan India sebagai daratan timur paling jauh yang
boleh dicapai oleh manusia manakala Tanah Arab pula adalah titik paling selatan
yang dapat dijangkau. Utara dan barat pula, menurut beliau, masih belum
diteroka justeru dipenuhi dengan misteri: “Aku belum pernah menemui sesiapa pun
yang dapat berikan kepadaku maklumat primer tentang kewujudan lautan di
penghujung utara dan barat Eropah.”
TAMADUN ROM:
BANGSA-BANGSA GASAR DI PENGHUJUNG DUNIA
Konsep dunia menurut
tamadun Yunani tidak ma-ti begitu sahaja. Walaupun Pythagoras dan Aristotle menegaskan
bahawa bumi ini berbentuk sfera, ramai yang masih berpegang pada tanggapan
bahawa daratan di penghujung dunia dipenuhi dengan bangsa-bangsa gasar. Antara
individu yang tidak terkecuali dari menganut anggapan sebegini adalah Julius
Caesar. Beliau meyakini bahawa Rome
adalah pusat dunia dan kawasan-kawasan yang jauh dari tanah Rom semuanya dihuni
oleh bangsa gasar.
Pandangan alam mereka
tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan tamadun Yunani. Cuma pada zaman
Rom, penghujung utara dan barat dunia bukan lagi kawasan yang asing. Pliny the
Elder yang pernah mengunjungi petempatan suku Chauci di barat laut Jerman menyifatkan
mereka sebagai bangsa gasar yang mendiami kawasan berhutan tebal dan kerap
digenangi air banjir. Dakwaan sebegini kemudian diambil bagi menggambarkan
suasana di penghujung utara dunia.
TERJEMAHAN
Mark Oliver. (16
September 2018). What Did Ancient Civilizations Believe Lay at the Edges of
the Earth? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/edges-earth-0010709
RUJUKAN
Lendering, Jona. “The
Edges of the Earth.” Livius. April 2, 2018.
http://www.livius.org/articles/concept/the-edges-of-the-earth-1/
Pliny the Elder.
Natural History . Trans. John F. Healy. Penguin Books, 2004.
Romm, James S. The
Edges of the Earth in Ancient Thought . Princeton University Press, 1994.
Siebold, Jim.
“Babylonian World Map.” Cartographic Images. July 22, 2015.
http://cartographic-images.net/Cartographic_Images/103_Babylonian_World.htm
- Get link
- X
- Other Apps