- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Inuit atau Inupiat,
merupakan masyarakat asli yang hidup di rantau yang hampir sepanjang tahunnya
bersuhu bawah sifar. Bagaimanapun, cuaca yang mencabar sebegitu sama sekali
tidak melunturkan keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan sehari-hari.
Memandangkan tiada
tumbuhan boleh dimakan yang dapat hidup di sana, maka diet utama masyarakat
Inuit adalah daging. Antara daging yang biasa dimakan oleh mereka ialah ikan
paus, anjing laut, walrus, dan pelbagai macam ikan. Haiwan-haiwan ini tidak
hanya dimanfaatkan sebagai sumber makanan, tetapi turut diolah sehingga
mempunyai banyak kegunaan lain.
Pada musim panas,
masyarakat Inuit berteduh di bawah rumah yang berbentuk seperti khemah yang
kebiasaannya diperbuat daripada tulang dan kulit haiwan. Pada musim sejuk pula,
mereka berteduh di bawah igloo, rumah berbentuk kubah yang diperbuat daripada
bongkah-bongkah salji.
FAKTOR KETAHANAN
MASYARAKAT INUIT
Antara faktor yang
membolehkan mereka mengharungi kehidupan dalam cuaca yang sedemikian mencabar
adalah kreativiti mereka dalam berinovasi, baik dalam cara hidup mahupun dalam
mengembangkan teknologi. Misalnya, mereka membangunkan reka bentuk igloo yang
mampu menjadi penebat haba. Mereka juga mempunyai kelengkapan berburu yang
efisien; kayak, jaket, but, s3nj4ta, dan teknik menangkap buruan. Selain kayak,
masyarakat Inuit juga mempunyai pengangkutan air lain yang lebih besar saiznya,
iaitu umiak.
Di samping itu, saintis
turut berpendapat bahawa kadar ketahanan mereka disumbangkan oleh faktor
genetik. Misalnya, sekumpulan saintis dari Universiti California di Berkeley
pernah membuat kajian tentang genetik masyarakat Inuit dan membentangkannya
dalam sebuah kertas
kajian yang diterbitkan dalam jurnal Biologi Molekul dan
Evolusi. Hasil kajian mendapati masyarakat Inuit mempunyai kecenderungan
genetik yang berbeza, di mana kecenderungan genetik ini membantu menghasilkan
lebih banyak sel lemak perang berbanding sel lemak putih. Sel lemak perang
berfungsi membakar tenaga dan menghasilkan haba, sementara sel lemak putih yang
dimiliki kebanyakan manusia pula hanya menyimpan kalori.
![]() |
| Perkampungan Eskimo yang dipenuhi dengan rumah igloo |
MENONGKAH ARUS
KEMODENAN
Pada kurun-kurun
kebelakangan, gaya hidup masyarakat Inuit mengalami banyak perubahan seiring
arus kemodenan. Namun, tradisi dan budaya mereka tidaklah hilang serta-merta. Tradisi
oral, kisah-kisah mitos, dan tarian kebudayaan masih menduduki tempat yang
penting dalam kalangan mereka. Bahasa utama mereka, iaitu bahasa Inuktitut juga
masih dituturkan di kebanyakan kawasan Artik, termasuklah di corong radio dan
siaran televisyen.
Bagaimanapun, gelombang
perubahan kian menekan khususnya pada 1960an, apabila banyak badan kerajaan
mendesak masyarakat Inuit supaya mendiami mukim-mukim perkampungan dan bukan
lagi di khemah-khemah nomad, baik pada musim sejuk mahupun musim panas. Populasi
masyarakat Inuit kian berkembang sehingga gaya hidup berburu tidak lagi mampu
menampung kehidupan. Justeru, ada yang meninggalkan suasana tradisi dan
mengamalkan gaya hidup sedentari di kampung atau pekan demi mendapatkan
pekerjaan dan bekalan makanan yang lebih terjamin. Di sana, masyarakat Inuit
mula mempelajari budaya Barat. Kemudahan-kemudahan seperti klinik dan sekolah
turut disediakan buat mereka.
![]() |
| Gambaran pemburu anjing laut dalam masyarakat Inuit |
Interaksi antara Inuit
dan masyarakat Eropah juga berlangsung semakin kerap menjelang 1940an, jika
dibandingkan dengan tempoh-tempoh sebelumnya.
Lama-kelamaan, rantau
Artik tempat tinggal masyarakat Inuit makin meriah dengan kehadiran kuasa-kuasa
Barat yang datang membina lapangan terbang dan pangkalan-pangkalan radar.
Pembangunan-pembangunan infrastruktur sebegini membuatkan dunia yang luas ini
terasa kecil dan Artik sendiri tidak lagi terpencil.
DEWA-DEWI DALAM MITOS MASYARAKAT
INUIT
Menurut The Canadian
Encyclopedia, masyarakat Inuit di rantau Artik Kanada merupakan sebahagian
dari keluarga masyarakat yang lebih besar yang hidup di sekitar Laut Berit,
Alaska, Kanada, dan Greenland. Mereka tidak hanya terkait secara bahasa, tetapi
juga oleh persamaan budaya dan gaya hidup sepertimana yang dapat dilihat
menerusi unsur seni, nyanyian, tarian, mitos, dan legenda mereka. Dalam
kepercayaan tradisi masyarakat Inuit, mereka memuja beberapa dewa-dewi utama.
Antara seperti:
Annigan si dewi bulan:
Menurut masyarakat Greenland, peredaran bulan dan matahari berlaku akibat
pergaduhan antara Annigan dan Malina si dewi matahari. Fasa bulan sabit di
langit juga kononnya berpunca dari Annigan yang terlupa makan sehingga
membuatkan tubuhnya kurus.
Sedna si semangat laut:
Menurut legenda, Sedna dipaksa oleh bapanya untuk berkahwin dengan seekor
anjing. Anehnya, anjing itu kemudian dilemaskan oleh bapa Sedna sendiri sambil
Sedna pula terpaksa membawa diri dan anaknya diserahkan kepada orang lain.
Sedna kemudian diperdaya sehingga mengahwini seekor burung yang menjelma
sebagai seorang lelaki.
Selepas identiti
sebenar burung itu diketahui, bapa Sedna membawa Sedna pergi melarikan diri
dengan menaiki sebuah perahu. Malangnya, perahu itu dibadai angin kencang yang
terhasil dari kibasan sayap burung yang mengejar mereka berdua. Sedna tercampak
keluar, namun sempat memaut bahagian sisi perahu. Apa yang menyedihkan, si bapa
kemudian meng3r4t jari-jemari anaknya sendiri sehingga mengakibatkan Sedna
terjatuh ke dalam laut. Kononnya, jari-jemari yang putus itu bertukar menjadi
hidupan-hidupan laut.
WILAYAH NUNAVUT
Pada tahun 1999,
kerajaan Kanada menubuhkan wilayah Nunavut yang ditadbir sepenuhnya oleh
masyarakat Inuit. Peta di bawah menunjukkan betapa luasnya wilayah yang dihuni
masyarakat kalis cuaca sejuk tersebut.
![]() |
| Nunavut |
TERJEMAHAN
(9 September 2018). Survival of the Inuit in a Harsh and Unforgiving World.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/survival-unforgiving-world-0010672
- Get link
- X
- Other Apps



