- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pasangan Yuya dan Thuya
(Thuya dan Tjuyu) melahirkan setidak-tidaknya seorang tokoh penting dalam
sejarah Mesir, iaitu Tiye yang kemudiannya menjadi isteri Amenhotep III, ibu
Akhenaten, dan nenek Tutankhamun. Yuya dan Thuya juga dipercayai mempunyai
seorang putera bernama Ay, yang juga merupakan nama penting dalam sejarah Mesir
Purba. Bukan sekadar sosok tubuh mereka sahaja yang diraikan, akan tetapi makam
persemadian mereka turut dianggap sebagai salah sebuah penemuan paling
mengujakan di Mesir.
Pada kurun ke-20 M,
nama Yuya dan Tuya sekali lagi meniti bibir ahli-ahli arkeologi dunia apabila
makam mereka dijumpai dua dekad sebelum Howard Carter menemukan makam
Tutankhamun (1922). Justeru ketika itu, makam Yuya dan Tuya dianggap sebagai
khazanah arkeologi paling berharga di Mesir.

Replika kerusi Puteri Sitamun, artifak dari Makam Yuya dan Tuya
Makam yang dilabel
sebagai KV46 itu terletak di Lembah Raja-Raja. Seni binanya bercirikan
makam-makam Dinasti Ke-18 Mesir dan dinding-dindingnya kosong dari sebarang
lukisan. Ia dijumpai pada tahun 1905 oleh James E. Quibell yang ketika itu
berkhidmat di bawah seliaan Theodore Davis. Sepanjang sejarah, ia dipercayai telah
dir0mp4k sebanyak tiga kali. Namun, kebanyakan barang berharga di dalamnya
masih tersisa sehingga dapat dijadikan sebagai khazanah arkeologi di masa kini.

Keranda lapisan paling luar milik Yuya (kiri) dan keranda lapisan paling dalam milik Yuya (kanan) yang ditemui pada 1905
Antara tinggalan
arkeologi yang dijumpai di dalamnya termasuklah mumia Yuya dan Tuya yang masih
berkeadaan terpelihara rapi. Bahkan sehingga hari ini, mumia mereka berdua
dianggap sebagai mumia paling sempurna pernah ditemui di Mesir. Cuma malangnya,
semasa musibah menimpa muzium di Kaherah pada tahun 2011, mumia Tuya mengalami
kerosakan.
Selain mumia, ahli-ahli
arkeologi turut menemui keranda-keranda berbentuk manusia, keranda berbentuk
kotak, balutan-balutan mumia, kelengkapan-kelengkapan kepala, sejumlah tangkal,
kumbang-kumbang scarab, bekas-bekas kanopik, patung-patung shabti, papyrus,
palet-palet tulisan, burung-ba, kerusi-kerusi emas, cermin, sistrum,
permaidani, sandal, baluk, balang tembikar, barangan kemas, mohor-mohor kecil,
dan banyak lagi barangan lain.

Pedati yang ditemui di makam Yuya dan Tuya (kredit)
Bagaimanapun, artifak
yang dianggap paling menarik perhatian adalah pedati yang masih berkeadaan
sempurna. Sama seperti mumia Yuya dan Tuya, ia dianggap sebagai pedati purba
paling terpelihara di dunia. Ukiran pada pedati tersebut tidaklah begitu
menonjol, namun cirinya yang ringkas mempunyai daya tarikan yang tersendiri.
Reka bentuk kotak-kotak barangan kemas Yuya dan Tuya juga menawan hati. Ia
dihasi dengan gading, faience, dan kayu hitam sementara
tulisan-tulisannya pula diukir dengan tinta emas.

Bekas simpanan makanan yang diperbuat dari tanah liat bakar yang dijumpai di makam Yuya dan Tuya

Antara kotak yang ditemui di makam Yuya dan Tuya, mengandungi cartouche Amenhotep III
Sebahagian artifak yang
dijumpai di makam KV46 ini juga mengandungi nama Amenhotep III dan isterinya,
Tiye. Hal ini membuktikan bahawa nama Yuya dan Tuya tidaklah ditempa dalam
sejarah hanya kerana mereka merupakan ibu bapa kepada Tiye, akan tetapi
disebabkan kedudukan mereka yang penting di istana firaun. Kerusi-kerusi yang
ditemui di dalam makam mereka bahkan sama megah dengan kerusi yang ditemui di
makam Tutankhamun hinggakan ia digunakan sebagai kerusi rasmi yang diduduki
oleh Maharani Eugenie semasa upacara perasmian pembukaan Terusan Suez.
Tanpa dapat disangkal,
sosok tokoh Yuya dan Tuya cukup signifikan dalam sejarah Mesir Purba dan
sedikit sebanyak, penemuan artifak-artifak di Makam KV46 ini mensohorkan lagi
nama pasangan tersebut.
TERJEMAHAN
Natalia Klimczak. (20 September 2016). The Magnificent Tomb and Treasures of
Forgotten Couple Yuya and Tuya. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/magnificent-tomb-and-treasures-forgotten-couple-yuya-and-tuya-006683
RUJUKAN
- L. Oakes, The Illustrated Encyclopedia of the pyramids, temples & tombs of Ancient Egypt, 2006.
- N. Reeves, R.H. Wilkinson, The Complete Valley of the Kings, 2008.
- The Treasures of Yuya and Tuyu.
- Egypt: The Private Tomb of Yuya and Tjuyu (Tuyu) in the Valley of the Kings.
- Get link
- X
- Other Apps

