- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pulau Palmerston
merupakan sebahagian daripada Kepulauan Cook yang terletak di Laut Pasifik
Selatan. Ia dianggap sebagai salah sebuah tempat paling terpencil di muka bumi
dan hampir kesemua penghuninya pada hari ini saling terkait anatra satu sama
lain memandangkan masing-masing berkongsi keturunan dari seorang lelaki
Inggeris yang menetap di pulau itu kira-kira 150 tahun lalu.
LOKASI PULAU PALMERSTON
Secara geografi, Pulau
Palmerston membentuk salah sebuah dari enam buah pulau terumbu karang (atol)
yang mengelilingi sebuah lagun (badan air cetek yang terpisah dari badan air
yang lebih besar dan dalam; lautan). Hal ini sebagaimana yang dapat dilihat
pada gambar di bawah. Selain Pulau Palmerston, terdapat lima buah pulau besar
lain iaitu Pulau Utara, Pulau Leicester, Pulau Primerose, Pulau Toms, dan Pulau
Cooks.
![]() |
| Peta Pulau Palmerston dan Kepulauan Cook |
Tempat berpenghuni yang
paling hampir dengan Pulau Palmerston adalah Pulau Rarotonga, terletak
kira-kira 500 km dari Pulau Palmerston. Walaupun jarak perjalanan antara
kedua-dua lokasi tersebut mengambil masa hanya sekitar dua hari perlayaran,
hakikatnya tempoh yang diperlukan memakan sehingga berbulan-bulan lamanya
lantaran kapal layar jarang sekali lalu-lalang di situ. Kapal adalah
satu-satunya pengangkutan yang boleh akses ke Pulau Palmerston. Hal ini kerana
pulau tersebut terletak terlalu jauh dari tempat lain sehingga tidak
memungkinkan helikopter biasa diterbangkan ke sana. Tambahan, Pulau Palmerston
juga tidak mempunyai kawasan pendaratan yang sesuai untuk mana-mana
pengangkutan udara.
TAHUN PENEMUAN PULAU
PALMERSTON
Pulau Palmerston
ditemui buat pertama kali pada tahun 1774 Masehi oleh Kapten James Cook semasa
beliau melakukan perlayarannya yang kedua. Namun, beliau hanya menjejakkan
kakinya di sana pada tanggal 13 April 1777, iaitu semasa ekspedisinya yang
ketiga. Pada waktu itu, Pulau Palmerston masih belum berpenghuni. Bagaimanapun,
terdapat jejak tinggalan yang membuktikan bahawa ia pernah dihuni oleh
masyarakat Polynesia. Pulau tersebut dinamakan bersempena Henry Temple, Viscount
Palmerston Ke-2 merangkap Ketua Pesuruhjaya Jabatan Angkatan Laut British.
![]() |
| Kapten James Cook, pelaut yang menemui Pulau Palmerston |
Pulau Palmerston
kembali tidak berusik selama hampir 80 tahun selepas Cook berangkat
meninggalkannya. Hanya pada 8 Julai 1863, barulah pulau tersebut dijejaki
sekali lagi oleh manusia – kali ini seorang lelaki Inggeris yang bernama
William Marsters. Marsters menyedari kewujudan pulau tersebut tiga tahun
sebelumnya semasa beliau bekerja di sebuah kapal pembvrv ikan paus. Keindahan
Pulau Palmesrton menggamit perhatiannya hinggakan beliau bertekad mahu
menghabiskan hidupnya di sana. Ketika itu, Pulau Palmerston berada dalam
pemilikan seorang pedagang British yang bernama John Brander. Bagaikan pucuk
dicita ulam mendatang, Marsters diupah untuk bekerja sebagai penjaga pulau
tersebut.
MARSTERS MENDIAMI PULAU
PALMERSTON
Marsters dilahirkan di
Leicester sekitar tahun 1831 dan beliau pernah bekerja sebagai buruh, tukang
kayu, dan pembuat tong sebelum membawa diri ke Pulau Palmerston bersama tiga
orang isterinya. Dua daripadanya adalah sepupu beliau sendiri manakala seorang
yang lain, bernama Akakaingaro (turut dikenali sebagai Sarah), merupakan anak
perempuan kepada pembesar Kepulauan Cook. Pada hari ini, Pulau Palmerston didiami
oleh tiga buah keluarga yang masing-masing berketurunan Marsters bersama tiga
orang isterinya.
Memandangkan Pulau
Palmerston berkeadaan terbiar tanpa penghuni sewaktu Marsters menjejakkan kaki
di sana, maka beliau terpaksa membanting tulang bagi membangunkan pulau
tersebut dari kosong. Kayu-kayan yang diambil daripada bangkai kapal yang
terdampar di pulau itu digunakan untuk membina rumah yang masih utuh berdiri
sehingga hari ini. Perlahan-lahan, Marsters membina pula gereja, sekolah, dan
rumah-rumah lain. Sebagai penjaga pulau, Marsters turut bertanggungjawab
menanam, memelihara dan menuai pokok-pokok kelapa. Setiap enam bulan, Brander
akan menghantar sebuah kapal yang membawa barang bekalan dan makanan ke Pulau
Palmerston dan sebagai imbalan, kapal tersebut dipenuhkan oleh Marsters dengan
minyak kelapa.
PULAU PALMERSTON
MENJADI REBUTAN
Pada tahun 1888,
Brander men!ngg4l dunia. Maka, Marsters pun membuat tuntutan pemilikan ke atas
Pulau Palmerston. Tuntutan tersebut dibantah oleh George Darsie, salah seorang
ahli keluarga Brander. Pulau Palmerston kemudian diserap secara rasmi oleh
Empayar British pada 23 Mei 1891 dan setelah puas berp3r4ng mulut dengan
Darsie, Marsters pada akhirnya diberikan hak pajakan selama 21 tahun. Pada
tahun 1954, keluarga Marsters dikurniakan pemilikan penuh ke atas Pulau
Palmerston selepas Parlimen New Zealand membuat pindaan terhadap Akta Kepulauan
Cook.
![]() |
| William Marsters, bapa kepada seluruh penghuni Pulau Palmerston pada hari ini |
Marsters sendiri
menghembuskan nafas terakhir pada 22 Mei 1899 akibat malnutrisi selepas
pokok-pokok kelapa yang ditanamnya rosak diserang hawar. Sebelum men!ngg4l
dunia, Marsters sempat membahagikan pulaunya kepada tiga bahagian untuk
diserahkan kepada zuriat yang lahir dari tiga orang isterinya. Menurut sejumlah
catatan, Marsters mempunyai 17 orang anak dan 54 orang cucu. Ada juga rekod
yang memberi angka berbeza, iaitu 20 orang anak. Apapun, pada hari ini, hampir
kesemua penghuni Pulau Palmerston adalah keturunan Marsters. Tidak hanya di pulau
tersebut, keturunannya turut bertebaran ke Rarotonga dan New Zealand.
TERJEMAHAN
Wu Mingren. (22 Mac 2019). Populating Palmerston Island: One Man, Three
Wives and a Desert Island Paradise. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-australia-oceania/palmerston-island-0011646
RUJUKAN
Kaushik, 2014.
Palmerston Island, Where Everyone is Related.
https://www.amusingplanet.com/2014/03/palmerston-island-where-everyone-is.html
Martienssen, T., 2013.
Palmerston: The island at the end of the earth.
https://www.bbc.com/news/magazine-25430383
Sometime Interesting,
2014. Nothing Goes Wrong on Palmerston Island.
https://sometimes-interesting.com/2014/10/19/nothing-goes-wrong-on-palmerston-island/
The Editors of Encyclopaedia
Britannica, 2017. Atoll.
https://www.britannica.com/science/atoll
The Editors of
Encyclopaedia Britannica, 2018. Palmerston Atoll.
https://www.britannica.com/place/Palmerston-Atoll
Cook Islands. 2019.
Palmerston, An English Legacy.
http://www.cookislands.org.uk/palmerston.html#.XJBBxyIzbIV
- Get link
- X
- Other Apps



