- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Elam merupakan salah
sebuah tamadun unggul yang pernah wujud pada zaman purba. Ia terletak di
wilayah Ilam dan Khuzestan, Iran. Secara dasarnya, tamadun ini bukanlah sebuah
kerajaan atau entiti politik yang dibentuk menerusi kesatuan etnik. Akan
tetapi, tamadun Elam berdiri sebagai sebuah federasi atau gabungan pelbagai
suku berbeza yang masing-masing mentadbir kota tersendiri seperti Susa, Anshan,
dan Shimashki. Suku-suku tersebut kemudiannya disatukan sebagai sebuah empayar
pada suatu tempoh yang dinamakan sebagai Zaman Pertengahan Elam.
Panggilan Elam pada
asalnya adalah dialek tamadun Akkadia dan Sumeria yang diambil daripada perkataan
Haltami atau Haltamti dalam bahasa pertuturan masyarakat Elam.
Perkataan tersebut membawa maksud ‘bangsa dari negara yang tinggi’. Penisbahan
sedemikian sememangnya sesuai lantaran tamadun Elam menempati kawasan Dataran
Tinggi Irani – bermula dari lembah-lembah landai di selatan hinggalah ke puncak
Pergunungan Zagros.
![]() |
| Peta lokasi tamadun Elam |
Sementara itu, ada juga
yang cuba mengaitkan asal-usul nama tamadun Elam dengan naratif keagamaan.
Menurut pendapat yang kedua ini, nama tersebut adalah bersempena salah seorang
putera Sam bin Nuh, iaitu Elam. Pemerihalan tentang Elam si putera Sam bin Nuh
sememangnya termaktub di dalam Tafsir at-Tabari bagi umat Islam dan Kitab
Kejadian bagi penganut Kristian. Cuma, perkaitan antara tamadun Elam dan sosok
tokoh bernama Elam bin Sam bin Nuh masih belum dapat dibuktikan secara tuntas.
Apa yang diketahui
secara pasti, masyarakat Elam sudah pun menghuni kawasan tersebut semenjak berlangsungnya Zaman Ubaid di
Mesopotamia (sekitar 5000-41000 SM). Menjelang tahun 3200 SM sehingga
penghujung Zaman Pra-Dinasti di Mesir (sekitar 3150 SM) pula, mereka
membangunkan kota Susa sekali gus menjadikannya salah sebuah kota paling tua di
dunia – lebih awal berbanding pembinaan piramid-piramid di Giza.
Secara umum, sejarahwan
moden membahagikan sejarah tamadun Elam kepada empat zaman, iaitu:
- Zaman Proto-Elam (c. 3200 – c. 2700 SM)
- Zaman Elam Lama (c. 2700 – c. 1600 SM)
- Zaman Pertengahan Elam (c. 1500 – c. 1100 SM)
- Zaman Neo-Elam atau Zaman Elam Baru (c. 1100 – c. 539 SM)
Dua milenium setengah
tempoh berdirinya tamadun Elam tentunya dipenuhi dengan berbagai-bagai
cerita – perkembangan, kemunduran, dan
pengasimilasiannya dengan tamadun lain. Akan tetapi, sumbangan-sumbangannya
yang signifikan terhadap peradaban di Timur Dekat secara khusus dan dunia silam
secara umum seringkali dikesampingkan.
![]() |
| Gambar hiasan: Tamadun Elam pernah berpe-rang dengan Sumeria dan ditak-luki Akkadia, dua adikuasa di Mesopotamia |
Tidak dapat dinafikan,
nama tamadun Elam agak janggal jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun purba
lain seperti Sumeria, Akkadia, dan Assyria. Namun, keterasingannya sama sekali
tidak dapat menyangkal hakikat bahawa mereka juga merupakan antara pemain utama
dalam pentas sejarah di Timur Dekat sepanjang tempoh 3200 – 539 SM.
Mereka pernah meme-rangi
tamadun Sumer, ditak-luki Empayar Akkadia, berpakat dan kemudian dikhianati
Hammurabi dari Babylon, menubuhkan empayar yang tersendiri, terlibat dalam
merun-tuhkan Empayar Neo-Assyria, dan akhirnya diserap menjadi sebahagian
Empayar Achaemenid (sekitar 539 SM). Menerusi asimilasi tersebut, kebudayaannya
terus bertahan, bernafas, dan menghembuskan pengaruh di bumi Parsi.
Bahkan semenjak awal
sejarahnya lagi, iaitu pada Zaman Proto Elam, keunggulan karyawan dan
pemahir-pemahir tukang mereka boleh dikatakan tiada tolok bandingan. Bahkan,
sejarah mengenali mereka sebagai pengamal kebebasan beragama dan pemelihara
kesaksamaan wanita. Kebudayaan tamadun-tamadun lain turut dihormati, walau pada
masa yang sama, pe-dang dan panah terus dihu-nus bagi merebut hegemoni.
![]() |
| Artifak dari Susa, menggambarkan wanita Elam sedang memintal benang. Kanan memaparkan gambaran moden |
Mungkin, tumbangnya
Elamais (Elymais) di tangan Empayar Sassanid pada tahun 224 Masehi menjadi
bukti kekalahan tamadun Elam dalam perebutan tersebut yang sekali gus
melenyapkan kewujudannya dari dunia. Namun, jejak tinggalannya masih bersemi di
Parsi – sentiasa bersedia untuk dicari dan digali.
Justeru, artikel kali
ini ingin berkongsikan sepuluh pengetahuan umum tentang tamadun Elam. Sebelum
membuka fakta pertama, kami mulakan dengan menukil kata pujangga; “Hancur badan
dikandung tanah, budi baik dikenang juga. Lebur Elam di panggung sejarah, budi
baiknya kan dicanang jua.”
SISTEM TULISAN YANG
MASIH BELUM DIFAHAMI SEPENUHNYA
Masyarakat Elam
mempunyai sistem tulisan lelurus (linear) yang tersendiri bagi memenuhi
keperluan dokumentasi mereka. Bagaimanapun sehingga hari ini, tulisan lelurus
Elam masih belum dapat difahami lantaran bahasanya wujud secara terpencil tanpa
ada kaitan dengan mana-mana keluarga bahasa lain. Lingkungan arkeologi juga
gagal menemukan sebarang artifak yang dapat berperanan sebagai pemudah
kerja-kerja penafsiran, seperti yang berlaku dalam kes penafsiran tulisan
hieroglif yang dimudahkan dengan penemuan Batu Rosetta.
Bagaimanapun,
masyarakat Elam mula mengguna pakai sistem tulisan kuneiform selepas interaksi
yang lebih giat dijalankan dengan Sumer dan Akkad – bermula sejak c. 2700 SM
sehinggalah tahun kejatuhannya, c. 224 Masehi. Sistem tulisan tersebut kemudian
diwarisi oleh Empayar Achaemenid (c. 550-330 SM), dengan Darius I (memerintah
522-486 SM) memasukkan bahasa Elam sebagai salah satu dari tiga bahasa yang
dimuatkan di dalam Prasasti Behistun – prasasti yang bertujuan mengabsahkan
pemerintahannya.
![]() |
| Bahasa Proto-Elam masih menjadi bahan penyelidikan sehingga kini |
Apapun, kesemuanya ini
tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa tulisan lelurus Elam masih gagal
difahami. Kesannya, peristiwa-peristiwa lampau yang berlaku pada Zaman
Proto-Elam tidak dapat ketahui sekali gus melahirkan tompok-tompok kelompongan
di dalam pemerihalan sejarah silam di Timur Dekat.
KORBAN PE-RANG PERTAMA
DALAM SEJARAH
Antara implikasi
langsung daripada kegagalan merungkai sistem tulisan lelurus Elam adalah
hilangnya catatan terperinci tentang pe-rang pertama dalam sejarah. Sekitar
tahun 2700 SM, Enemebaragesi si raja Sumeria mengangkat sen-jata dan mengerah
ten-tera – mangsanya, tidak lain adalah masyarakat Elam. Dalam pepe-rangan
tersebut, pasukan Sumeria memperoleh kemenangan dan segala harta rampasan
diangkut pulang ke kota Sumer.
Apa yang merugikan bagi
lingkungan keilmuan, peristiwa ini hanya diabadikan secara ringkas oleh tamadun
Sumeria di dalam teks berjudul ‘Senarai Raja Sumeria’. Bak kata pepatah,
“Sejarah ditulis oleh yang menang”. Sebaris yang ditulis, sebarislah yang kita ketahui.
Bagi yang kecundang, kalah pe-rang mungkin merupakan sejarah pahit yang tidak
ingin dikenang.
![]() |
| Gambaran pedati pe-rang Sumeria sekitar 2,500 SM |
Justeru, pemerihalan
tentang pepe-rangan dan hubungan dengan tamadun Sumeria tidak dicatatkan semula
ke dalam rekod-rekod kuneiform pada era terkemudian. Satu-satunya sumber yang
boleh diharapkan, hanyalah tablet-tablet lama yang diukir dengan tulisan
lelurus Elam. Ibarat sumur yang diselimuti gelita, ada atau tidak air di
dalamnya tidak akan dapat diketahui selagimana ia tidak disuluhi dan ditimba.
PENGELUAR HASIL SENI
YANG UNIK
Hasil kesenian
masyarakat Elam pada zaman-zaman awal juga terpalit dengan masalah kekaburan
sejarah. Sejarahwan tidak berupaya menjelaskan daripada mana datangnya ilham
kesenian mereka. Hal ini kerana barangan seramik, barangan logam, seni lukisan,
dan alat perhiasan yang dihasilkan oleh masyarakat Elam pada Zaman Proto-Elam
sama sekali berbeza dengan hasil seni tamadun-tamadun lain di sekelilingnya.
Ketika itu,
tamadun-tamadun seperti Sumeria, Akkadia, dan Mesir Purba menekankan ciri
manusia atau setidak-tidaknya, haiwan-bercirikan-manusia dalam kesenian mereka.
Misalannya, Mesir Purba mencantumkan kepala kucing pada tubuh wanita bagi
menghasilkan patung atau imej gambaran dewi Bastet.
![]() |
| Antara hasil seni yang dihasilkan pada zaman Proto-Elam |
Masyarakat Elam
sebaliknya lebih menekankan ciri haiwan, sepertimana yang dapat dilihat pada
relif di kota Susa dan patung ‘Kerbau Melutut Sambil Menjunjung Balang’ yang
dihasilkan sekitar tahun 3100-2900 SM. Hanya sesudah terjalinnya interaksi
rapat dengan warga Sumer, barulah hasil seni Elam menampakkan perubahan yang
tentunya, mengor-bankan sentuhan asli mereka. Cuma masih, setiap hasil kesenian
Elam menyerlahkan kemahiran peringkat tinggi.
PEMBANGUN KOTA SUSA,
ANTARA KOTA TERTUA DI DUNIA
Tidak hanya unggul
dalam menghargai nilai estetika, masyarakat Elam juga bertanggungjawab
membangunkan salah sebuah kota paling tua di dunia. Menurut bukti arkeologi,
kawasan berhampiran Pergunungan Zagros yang menempatkan kota Susa sudah pun
menerima kehadiran manusia sejak tahun 7000 SM.
Setelah mendiami bumi
tersebut selama hampir tiga ribu tahun, masyarakat setempat kemudiannya
membangunkan sebuah kota yang sehingga kini dikenali sebagai kota Susa. Kota
tersebut berdiri sebagai hub perdagangan yang penting pada Zaman Proto-Elam dan
mencapai titik zenith-nya pada Zaman Pertengahan Elam.
Sepanjang tempoh
tersebut, kota Susa diberikan perhatian khusus dan ditatang dengan minyak penuh
oleh dua orang raja Elam yang terunggul, iaitu Untash-Napirisha (memerintah
1275-1240 SM) dan Shutruk-Nakhkunte (memerintah 1184-1155 SM). Kemasyhuran kota Susa banyak disumbang oleh
kemajuannya dalam bidang pertanian, penghasilan barang seramik, penempaan
logam, dan pengeluaran tekstil.
![]() |
| Runtuhan kota Susa |
Bintangnya terus
gemilang ketika berada di bawah naungan Empayar Achaemenid, di mana Susa
dijadikan sebagai salah sebuah kota penting, di samping berperanan sebagai
pusat perdagangan, pusat industri, dan pusat seni. Bermula sebagai kota yang
masyhur, riwayat Susa berakhir di tangan amu-kan Monggol pada tahun 1218 Masehi
yang menjadikannya padang jarak padang tekukur.
MENGAMALKAN KEPERCAYAAN
POLITEISME
Masyarakat Elam
menganut kepercayaan politeisme dan bertumpu pada pemujaan dewa-dewi yang
mewakili kuasa semesta dan fenomena alam. Tidak seperti tamadun-tamadun masyhur
yang lain, perincian tentang ritual dan amalan keagamaan masyarakat Elam hilang
dari lembaran sejarah kecuali seperca cuma.
Mereka gemar mendirikan
bangunan-bangunan suci di gunung-ganang, bukit-bukau, dan hutan-belantara yang
dianggap keramat. Berdasarkan prasasti-prasasti yang dijumpai di Susa, ritual
keagamaan masyarakat Elam banyak berkisar seputar kehidupan sesudah ma-ti dan
sifat roh yang abadi.
![]() |
| Dewi Narundi, dewi pelindung kota Susa |
Sementara itu, jumpaan
artifak-artifak keagamaan dari zaman awal Elam pula mengisyaratkan wujudnya
amalan pemujaan satu Dewi Ibunda yang seiring peredaran masa, dikembangkan
identitinya menjadi Dewi Kiririsha. Dewi Kiririsha dianggap sebagai Ibu Segala
Dewa-Dewi, merangkap isteri kepada dewa Insushinak dan Dewa Humban yang
masing-masing merupakan dewa pelindung kota Susa dan kota Anshan.
Jemaah dewa-dewi Elam
dibarisi seramai 200 dewa – setiap satunya tunduk pada telunjuk dewa tertinggi
bernama Napirisha (Raja Bumi dan Raja Manusia). Masyarakat Elam juga menyerap
masuk beberapa dewa Mesopotamia (khususnya Sumeria), justeru Ea, Enki,
Ninhursag, Shamash, dan lain-lain, turut dipuja oleh mereka.
MENGIMARAHKAN TOLERANSI
BERAGAMA
Kesemua dewa-dewi
tersebut dipuja secara bebas di seluruh wilayah naungan Elam. Dalam hampir
keseluruhan sejarahnya, keluasan tamadun Elam mencakupi selatan Iran dan
sebahagian Iraq moden. Pun begitu, tiada bukti yang menggambarkan berlaku pemaksaan
beragama dalam kalangan rakyat jelata. Sedangkan kalau hendak diikutkan, sepanjang
Zaman Pertengahan Elam, raja-raja mereka giat melaksanakan dasar “Elamisasi”
demi mengecapi keseragaman identiti dalam budaya dan agama.
Hal-hal seperti
perteling-kahan dek kerana agama, huku-man yang diatasnamakan agama, atau
kekacauan sosial yang dipicu oleh perbezaan agama – kesemuanya ini tidak
tercatat dalam mana-mana rekod Elam. Bagaimanapun, lidah mana yang tak pernah
tergigit. Sama ada ia berlaku namun tidak dicatat, atau ia berlaku namun
berskala kecil.
![]() |
| Gambaran fesyen kaum wanita Elam berdasarkan artifak yang ditemui |
Cuma, penisbahan
tamadun Elam dengan toleransi beragama sedikit-sebanyak mengisyaratkan betapa
keharmonian beragama dalam kalangan mereka berada pada paras yang lebih baik
berbanding tamadun-tamadun lain. Sifat yang satu ini, sering disinonimkan
dengan mercu keagamaan mereka, iaitu Dur-Untash, atau juga dikenali dengan nama
Chogha Zanbil.
DUR-UNTASH: KUIL KEBANGGAAN
TAMADUN ELAM
Dur-Untash atau ‘Kubu
Untash’ dinamakan bersempena salah seorang raja paling masyhur dalam tamadun
Elam, iaitu Untash-Napirisha yang berasal dari Dinasti Igihalkid (c. 1400 – c.
1200 SM). Antara jasa besar beliau adalah menaungi pembinaan ziggurat dan
kompleks kuil Dur-Untash (Chogha Zanbil). Choga Zanbil bermaksud
‘gundukan bakul’. Mungkin, ia dinamakan sedemikian kerana bentuk bangunan
tersebut memang seakan-akan sebuah bakul terbalik.
Pada asalnya, Chogha
Zanbil dibina khusus untuk Insushinak si dewa pelindung kota Susa. Ia turut
dilengkapi dengan sebuah ziggurat yang diruntuhkan pada era terkemudian bagi
memberi ruang kepada sebuah projek yang dianggap lebih besar dan mulia – iaitu
pembinaan kompleks kuil buat kesemua dewa tempatan.
![]() |
| Chogha Zanbil |
Bagi Untash-Napirisha,
kuil sebegini berpotensi menggamit kunjungan seluruh warga Elam dan tidak lagi
terhad kepada warga kota Susa semata-mata. Dalam erti kata lain, ia berdiri
sebagai simbol toleransi beragama yang diamalkan oleh tamadun Elam.
Cuma, malang tidak
berbau dan ajal tiada siapa yang tahu. Semasa Chogha Zanbil masih dalam
pembinaan, Untash-Napirisha mangkat dan sebagai akibat, projek tersebut
ditamatkan tanpa sempat digunakan. Entah apa puncanya sampaikan ia tergendala,
sejarahwan tidak berupaya menjelaskannya.
KESAKSAMAAN BUAT KAUM
WANITA DIPELIHARA
Di samping toleransi
beragama, masyarakat Elam turut memelihara kesaksamaan buat kaum wanita. Sifat
ini jelas digambarkan menerusi hasil seni yang mereka tinggalkan. Misalnya, relif
dan meterai silinder Elam menampilkan persamaan saiz antara imej lelaki dan
wanita. Kebiasaannya bagi tamadun-tamadun purba, gambaran sebegini membawa erti
kesamarataan dan kesaksamaan antara jantina.
![]() |
| Relif batu Elam yang memaparkan saiz suami dan isteri yang sama ini dipercayai menggambarkan kesetaraan jantina diamalkan oleh tamadun tersebut |
MENUBUHKAN EMPAYAR
TERSENDIRI
Sekitar tahun 1200
hingga 1100 SM, tamadun Elam diperintah oleh Raja Shutruk-Nakhkunte dari
Dinasti Sutrikid. Pemerintahannya difajari oleh dasar pemulihan dan pelestarian
kota-kota naungannya, terutama sekali kota Susa. Dasar ini bertujuan
memperagakan kemegahan dan kekuasaannya. Tidak lama kemudian, Shutruk-Nakhkunte
menubuhkan Empayar Elam.
![]() |
| Shutruk Nakhunte, salah seorang raja Elam yang terunggul |
Beliau dikenali dalam
sejarah Mesopotamia sebagai penak-luk kota Sippar dan peram-pas tugu Marduk
(dewa pelindung kota Babylon). Hampir setiap negara-kota yang dikunjungi beliau
habis dikuasai dan hartanya pula dirampas. Antara khazanah yang diangkut
kembali ke Susa termasuklah Stele Kemenangan Naram-Sin dan Prasasti Hammurabi.
Walau bagaimanapun, percakaran sesama kerabat diraja mengakibatkan empayar
tersebut hanya dapat bertahan selama dua generasi.
MENYERAP BUDAYA SUMER
DAN DISERAP BUDAYANYA OLEH PARSI
Interaksi yang kerap terjalin
dengan Sumer, sama ada dalam konteks damai mahupun konflik, banyak mempengaruhi
sosiobudaya masyarakat Elam. Elemen kesenian, kepakaran pembuatan, dan unsur
keagamaan Sumeria perlahan-lahan diserap menjadi budaya tempatan semenjak Zaman
Elam Lama.
Bagaimanapun, pengaruh
Agama Irani Awal dan Zoroastrianisme tetap mendominasi. Oleh kerana itu,
kepercayaan mereka tidak lari jauh daripada penyembahan Ahura Mazda sebagai
pusat semesta.
Selepas diserap menjadi
sebahagian daripada Empayar Achaemenid pada 550 SM, budaya Elam disesuaikan
mengikut acuan nilai-nilai Parsi dan ia terus mengalami perkembangan sehingga
tahun 651 Masehi. Tahun tersebut, Empayar Sassanid tumbang di tangan umat
Islam. Namun, kebudayaan Elam-Parsi tidak hilang malah tersebar di seluruh
Timur Dekat.
![]() |
| Istana Darius di Susa |
TERJEMAHAN
Joshua J. Mark. (27
Ogos 2020). Ten Ancient Elam Facts You Need to Know. Ancient History
Encyclopedia.
https://ancient.eu/article/1591/ten-ancient-elam-facts-you-need-to-know/
- Get link
- X
- Other Apps













