- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
‘Pokok keabadian’.
Itulah julukan yang diberikan oleh masyarakat Mesir Purba buat aloe vera
(lidah buaya). Tumbuhan yang mengandungi seribu satu guna ini tidak hanya
dihargai oleh warga lembah Sungai Nil, akan tetapi ia turut dimanfaatkan oleh
pelbagai tamadun di serata dunia.
Sejak dahulukala, ia
digunakan bagi merawat bermacam-macam masalah kesihatan. Obesiti, kulit
melecur, dermatitis, ulser, asma, diabetes, jerawat dan kusta – kesemuanya
dapat dirawat berkat khasiat yang sarat terkandung di dalam aloe vera.
Lebih 95% kandungan aloe
vera terdiri daripada air, sambil bakinya pula diperkaya dengan mineral,
vitamin, asam amino, enzim, dan polisakarida. Antara kandungan lain termasuklah
kalsium, zat besi, zink, magnesium, zat tembaga, potassium, dan mangan. Tumbuhan
ini sesuai digunakan bagi menangani masalah radang di samping meningkatkan
sistem imunisasi tubuh dan penghasilan sel da-rah merah.
Berbicara daripada
sudut sejarah, aloe vera dicatatkan berasal dari bumi Afrika dan Timur
Tengah. Bagaimanapun, tidak keterlaluan untuk mengatakan yang ia boleh tumbuh
di mana pun jua. Ada air ada ikan, ada gula ada semut. Asalkan ada hujan dan
tanah, lidah buaya memang mudah untuk mengeluarkan buah. Oleh kerana itulah, aloe
vera sejak zaman-berzaman terkenal sebagai ramuan kesihatan.
Setakat yang diketahui,
penggunaan terawal aloe vera adalah pada 6,000 tahun dahulu – oleh
masyarakat Mesir Purba. Sesuai dengan julukannya sebagai ‘pokok keabadian’, aloe
vera disifatkan sebagai rahsia kecantikan, kesihatan, dan panjang usia.
Ratu-ratu unggul Mesir, seperti Cleopatra dan Nefertiti sendiri dicatatkan
memakai sari aloe vera sebagai rutin penjagaan kejelitaan mereka.
![]() |
| Aloe vera digunakan seawal 6,000 tahun dahulu oleh tamadun Mesir |
Tidak hanya
mengindahkan kulit, aloe vera juga dimanfaatkan sebagai bahan pengawet
dalam proses mumifikasi. Mumifikasi, menurut kepercayaan mereka, adalah jalan
untuk mengecapi kehidupan abadi. Nilai aloe vera turut dihargai dalam
upacara persemadian gemulah firaun, di mana ia lazim dijadikan sebagai salah
satu hadiah berharga buat mereka.
Dalam Papirus Eber
(ditulis pada 1,550 SM, zaman pemerintahan Amenhotep) yang ditemui di Thebes
pada tahun 1858, aloe vera dicatatkan sebagai anti-radang dan pelega
kesakitan, di samping berkesan dalam merawat batuk kering.
Ia turut dianggap
sebagai simbol keagamaan. Kononnya, menggantungkan simbol aloe vera pada
pintu rumah dapat menghalau fitnah dan pengaruh jahat. Sementara itu, tablet-tablet
tanah liat berusia 2,200 SM yang dijumpai dari Nippur (sebuah kota di Sumeria)
menyifatkan aloe vera sebagai penyahtoksik badan.
![]() |
| Aloe vera kebiasaannya menjadi salah satu hadiah persemadian bagi mana-mana firaun yang mangkat |
Sepanjang kempen keten-teraan
Alexander Agung, aloe vera banyak berjasa dalam merawat luka yang
dialami oleh t3nt3ra-t3nt3ranya. Beliau bahkan membawa bersama gerabak-gerabak
yang dipenuhi aloe vera sebagai bekalan perubatan. Dicatatkan, Aristotle
pernah menasihati anak muridnya itu supaya mere-but Pulau Socotra. Tujuannya
tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meram-pas kesemua ladang aloe vera
yang terdapat di sana.
Empayar Rom pada kurun
pertama Masehi (di bawah pemerintahan Nero) pula menyaksikan khasiat aloe vera
diabadikan oleh seorang tabib bernama Dioscorides. Sepanjang hayatnya,
Dioscorides sempat mengabadikan ilmu beliau ke dalam beberapa buah buku. Buku
pertamanya, De Metaria Medica yang dikarang pada 41-68 Masehi memuatkan
pemerihalan tentang berbagai jenis penyakit dan kaedah rawatannya.
Dalam bab berkenaan rawatan
menggunakan tumbuh-tumbuhan, Dioscorides menyifatkan aloe vera sebagai
antara tumbuhan kegemarannya. Menurutnya, sari aloe vera boleh digunakan
bagi merawat luka, ketidakselesaan perut, radang gusi, sakit sendi, sakit
kulit, selaran matahari (sunburn), jerawat, dan keguguran rambut.
Pemerincian beliau itu
turut disokong oleh seorang lagi ilmuwan Rom, iaitu Pliny the Elder. Di dalam
karyanya yang berjudul Natural History, Pliny juga menambah khasiat aloe
vera sebagai penyembuh penyakit kusta dan anti-perpeluhan.
Bagi tamadun China,
khasiat aloe vera diketahui sejak zaman Marco Polo lagi (Dinasti Yuan).
Mereka mengenali sari tumbuhan tersebut sebagai Lu-Hui, dan ia disebut
buat pertama kali pada kurun ke-11 Masehi. Buku perubatan China yang berjudul Shi-Shen
menyifatkan penggunaan aloe vera sebagai salah satu ‘Kaedah Rawatan
Semulajadi’. Di Jepun pula, aloe vera dikenali sebagai tumbuhan istana
dan adakalanya, sari tumbuhan tersebut dijadikan ramuan untuk diminum.
Eropah pada Zaman
Pertengahan juga tidak ketinggalan. Sepanjang kempen pe-rang salib, Knights
Templar memanfaatkan aloe vera sebagai bahan bagi menghasilkan a-rak –
selain kelapa dan biji rami. Dalam perlayaran Christopher Columbus ke Dunia
Baru pula, tumbuhan tersebut turut diangkut bersama sebagai bekalan bagi
merawat luka.
Kata beliau, “Terdapat
empat tumbuhan paling berharga buat manusia – gandum, anggur, zaitun, dan lidah
buaya. Gandum memberi khasiat. Anggur menaikkan semangat. Zaitun bekalan rehat,
dan lidah buaya memberi sihat.”
![]() |
| Beberapa suku asli di Dunia Baru menganggap aloe vera sebagai salah satu tumbuhan suci |
Masyarakat-masyarakat
asli di Dunia Baru sendiri akrab dengan aloe vera. Bagi suku-suku
tertentu, ia dianggap sebagai salah satu dari 16 tumbuhan suci. Kebiasaannya,
mereka memanfaatkan aloe vera sebagai pembasmi serangga – sama ada
disapu pada kulit manusia, kayu, atau barang-barang berharga.
Pada kurun ke-17,
rantau Hindia Barat terkenal sebagai pembekal utama aloe vera bagi
pasaran Eropah. Syarikat Hindia Timur mendapatkan bekalan mereka dari Socotra
dan Zanzibar, manakala Belanda pula membuka ladang-ladang aloe vera di
Barbados, Curacao, Aruba, dan Bonaire. Menjelang kurun ke-18, aloe vera
mula diekstrak menjadi ubat-ubatan dan hari ini, aloe vera hadir dalam
pelbagai rupa.
TERJEMAHAN
Veronica Parkes. (6
Februari 2017). The Ancient ‘Plant of Immortality’ That Treats Over 50
Medical Conditions. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/ancient-plant-immortality-treats-over-50-medical-conditions-007505
- Get link
- X
- Other Apps




