- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Bukan sedikit lukisan
atau ukiran yang dihasilkan pada zaman purba meninggalkan kita dengan tanda
tanya. Antaranya, termasuklah imej yang kelihatan seakan-akan beg tangan. Imej
sedemikian muncul dalam pelbagai tamadun; baik Sumeria (Iraq), Göbekli Tepe
(Turki), Maori (New Zealand), dan Olmec (Amerika Tengah).
Setakat yang diketahui,
beg tangan paling tua yang pernah dijumpai adalah milik Ötzi si Lelaki Ais
(Ötzi the Iceman) yang hidup di Pergunungan Ötztal sekitar 5,300 tahun dahulu.
Bagaimanapun, ilmuwan
kurang meyakini imej yang dijumpai pada lukisan dinding dan ukiran batu di
serata dunia benar-benar merujuk kepada beg tangan. Hal ini kerana imej
tersebut bukan sekadar dibimbit oleh manusia, tetapi juga oleh dewa-dewi dan
makhluk-makhluk mitologi (adakalanya ia muncul sebagai objek tunggal).
Jadi, imej yang
dimaksudkan ini bukanlah tentunya beg tangan. Ia dipanggil sedemikian kerana
bentuknya kelihatan seperti beg tangan yang kita kenali pada hari ini. Secara
umum, imej tersebut mempunyai pemegang berbentuk lengkung dan bahagian bawahnya
pula berbentuk segi empat tepat – selain perbezaan kecil pada perincian tekstur
dan corak.
Sehingga kini, pendapat
yang paling diterima dalam kalangan ilmuwan adalah imej tersebut mewakili
pandangan masyarakat purba terhadap bentuk alam semesta, sebagaimana yang
diterakan pada gambar di atas.
Imej separa bulat atau
melengkung (yang seakan-akan tali beg) mewakili hemisfera langit. Manakala
tapak yang berbentuk petak pula mewakili bumi.
Dalam tamadun-tamadun
purba, imej bulat sememangnya sering dijadikan simbol bagi konsep kerohanian
atau nir-bendawi. Imej petak pula dikaitkan dengan konsep bumi dan bendawi.
Oleh kerana itu, imej tersebut diandaikan sebagai simbol penyatuan antara
langit dan bumi, atau antara elemen bendawi (jasmani) dan nir-bendawi (rohani).
Antara ukiran beg
tangan terawal yang boleh dijumpai adalah ukiran pada runtuhan Göbekli Tepe
yang terletak di tenggara Turki. Göbekli Tepe merupakan salah sebuah kompleks
kuil tertua pernah ditemui, dengan usianya menjangkau sehingga 11,000 SM.
Fungsi sebenar binaan
tersebut masih belum diketahui. Namun setakat ini, ahli arkeologi berpandangan
yang ia digunakan sebagai tapak bagi menjalankan ritual kor-ban lantaran banyak
tulang haiwan dijumpai di sana. Dinding dan tiang-tiang batu di kuil tersebut
turut dihiasi dengan ukiran haiwan, dewa-dewi, dan makhluk-makhluk mitos.
Termasuklah juga motif yang diukir di situ ialah tiga imej yang seakan-akan beg
tangan.
![]() |
Imej tiga beg tangan yang ditemui di Göbekli Tepe |
Imej serupa turut
muncul pada relif batu dalam tamadun Assyria (sekitar 880-859 SM) dan tamadun
Olmec (sekitar 1200-400 SM), sebagaimana yang dipaparkan pada gambar utama.
Dalam kedua-dua relif berkenaan, ‘beg tangan’ tersebut dibimbit oleh seseorang
individu – sama ada manusia mahupun dewa-dewi. Bagi imej beg tangan Assyria, ia
dipercayai mengandungi habuk ajaib manakala bagi tamadun Olmec pula, ia
dipenuhi dengan herba-herba mengkhayalkan.
Imej beg tangan dalam
tamadun Mesir Purba pula sedikit berbeza. Ia lebih dikenali sebagai ankh, iaitu
simbol hieroglif yang kebiasaannya digunakan bagi mewakili perkataan ‘hidup’.
Lebih menjurus, ia dikaitkan dengan kehidupan selepas mati.
Sementara itu dalam
mitos Maori di New Zealand, ada diceritakan tentang seorang wira (versi lain,
Tane si dewa hutan) yang naik ke langit menemui dewa-dewi lalu kembali ke bumi
dengan membawa tiga bakul yang dipenuhi dengan hikmah atau kebijaksanaan.
Ilmuwan meyakini yang mitos ini berkongsi makna simbolik dengan imej beg tangan
di Göbekli Tepe; iaitu tanda kesyukuran terhadap kurniaan ilmu pengetahuan yang
diturunkan dari langit.
Ringkasnya, imej-imej
sedemikian melambangkan pegangan tamadun-tamadun purba berkaitan penciptaan
alam semesta. Penerapannya sebagai suatu barangan seharian seperti beg tangan
ataupun bakul seakan-akan mengisyaratkan betapa mereka cuba menyebatikan nilai
kosmologi tersebut dalam kehidupan harian.
TERJEMAHAN
Kerry Sullivan. (25 Januari 2017). What is the Mysterious Handbag Seen in
Ancient Carvings Across Cultures and Countries? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/what-mysterious-handbag-seen-ancient-carvings-across-cultures-and-021191
- Get link
- X
- Other Apps