- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Walaupun mempunyai
signifikasi sejarah dan kaya dengan pelbagai warisan budaya, Tibet merupakan
salah sebuah rantau yang seringkali dipandang sepi dalam lingkungan sejarah
moden. Suatu ketika dahulu, rantau tersebut unggul dengan sebuah empayar
merdeka yang menaungi wilayah yang cukup besar – diperintah oleh raja-raja yang
cekap dan dilindungi oleh kekuatan ten-tera yang ampuh.
Pada hari ini, rantau
bersejarah Tibet merangkumi berapa buah negara seperti India, China, Bhutan,
dan Nepal. Dataran Tingginya berkeluasan 1,000 km dari utara ke selatan dan
2,500 km dari timur ke barat, sekali gus menjadikannya dataran tinggi paling
besar di dunia. Tambahan, ia diapit oleh dua sempadan semula jadi; iaitu Gurun
Taklamakan di utara dan Banjaran Himalaya di selatan. Nama Tibet mungkin paling
sinonim dengan Gunung Everest yang berketinggian 8,848.86 m, sekali gus
meraihkannya julukan ‘Bumbung Dunia’.
Rupa bumi di rantau
Tibet agak kasar dan sebahagian kawasannya tidak sesuai untuk dibangunkan
petempatan. Bagaimanapun, keadaan sedemikian sama sekali tidak menghalang
rantau Tibet untuk menjadi kampung halaman bagi pelbagai kumpulan etnik.
Kebanyakan mereka adalah penternak-nomad yang meneruskan tradisi-tradisi lama.
Waktu berganti waktu.
Lalu, sebuah kebudayaan Tibet yang unik pun perlahan-lahan terbentuk. Kesatuan
identiti sebegini kemudian mendorong kepada kemunculan Empayar Tibet. Secara
kasar, empayar tersebut wujud pada tahun 618 hingga 824 Masehi. Tempoh
perdananya pula dikecapi sekitar 780an.
![]() |
| Empayar Tibet bertapak di Dataran Tinggi Tibet, diapit oleh Gurun Taklamakan di utara dan Banjaran Himalaya di selatan |
NAMRI SONGTSEN
MELETAKKAN BATU ASAS PENUBUHAN EMPAYAR TIBET
Mengulangi skrip yang
hampir serupa dengan kebanyakan empayar di dunia, pembentukan Empayar Tibet bermula
dengan pemberon-takan. Kesemuanya bertitik-tolak di Istana Taktsé. Menurut Hikayat
Tibet Lama, kisah pembentukan Empayar Tibet dirintis oleh seorang raja
bernama Tagbu Nyazig yang menen-tang dan menundukkan pemerintahan Gudri
Zongpoje. Gudri dipercayai sebagai raja Tibet dan vassal kepada Empayar
Zhangzhung.
Walaupun kandungan Hikayat
Tibet Lama bercampur-baur antara fakta dan legenda, sejarahwan menyimpulkan
bahawa kekacauan politik sememangnya berlaku di Tibet pada waktu itu.
Sebagaimana biasa dalam suasana huru-hara, yang menang jadi arang dan yang
kalah jadi abu. Yang duduk di tepi pula, pantas menyambar tali kendali –
mengisi kekosongan kerusi politik tertinggi.
![]() |
| Run-tuhan Istana Taktsé |
Individu yang tampil
mere-but kesempatan ini dikenali sebagai Namri Songtsen. Bersama dokongan penuh
dari seluruh klan beliau, Namri Songtsen berjaya melebarkan pengaruh dan
kekuasaannya, terutama di bandar Lhasa moden. Namun, roda takdir terus
berputar. Sejarah mencatatkan bahawa beliau tewas di tangan pembu-nuh sekitar
tahun 618 M.
Pembu-nuhan tersebut
secara tidak langsung mencerminkan suasana politik yang membelenggu Tibet
ketika itu – pergelutan kuasa, pere-butan takhta, dan pemban-taian kerabat
diraja. Bagaimanapun, batu asas yang diletakkan oleh Namri Songtsen cukup teguh
dan kukuh. Wilayah yang ditinggalkannya terus bertahan dan seiring peredaran
waktu, ia berkembang mapan menjadi sebuah empayar.
Sebelum pergi ke negeri
abadi, Namri Songtsen sendiri sempat menempah kerusinya sebagai pemain utama
dalam panggung sejarah menerusi pengutusan dua rombongan delegasi ke istana
Dinasti Sui pada tahun 608 dan 609 Masehi. Secara efektif, pemerintahannya
diiktiraf dan monarkinya kini menjadi pemerintah yang absah.
![]() |
| Lukisan menggambarkan sosok figura Songtsen Gampo, putera Namri Songtsen merangkap pengasas Empayar Tibet |
SONGTSEN GAMPO –
MENGASASKAN EMPAYAR TIBET PADA USIA 13 TAHUN
Mu-suh Namri Songtsen
mungkin berhasil meragut nyawanya, namun tidak legasinya. Putera beliau yang
bernama Songtsen Gampo serta-merta memadamkan cubaan meram-pas kuasa. Menurut
catatan-catatan lama, Songtsen Gampo baru sahaja menginjak usia 13 tahun
sewaktu bapanya ma-ti diracun.
Namun, usia bukanlah
satu-satunya kayu bagi mengukur kematangan dan kesiapsiagaan seseorang
individu. Sebelia mana pun usianya, Songtsen Gampo tampil mewarisi takhta dan
berhasil menundukkan ancaman yang memata-matai kerajaannya.
Nama beliau tidak hanya
unggul sebagai maharaja Tibet yang pertama. Songtsen Gampo juga diberikan
kredit atas pelbagai inovasi dan pembangunan yang banyak memberi manfaat kepada
rakyat jelata. Sempadan empayar diperluas, dan sesudah seluruh Dataran Tibet
jatuh di tangannya, Songtsen Gampo menumpukan perhatian kepada pembangunan
budaya pula.
Dicatatkan, beliau
mengutus ketua penasihatnya yang bernama Thonmi Sambhota ke India bagi
mendalami ilmu pengetahuan di sana. Tujuannya cuma satu – pulang nanti,
ciptakan satu sistem tulisan yang sesuai dengan bahasa pertuturan di Tibet.
Sistem tulisan tersebut kelak dibentuk berdasarkan pengaruh tulisan Bhrami dan
Gupta.
![]() |
| Sistem tulisan Tibet dihasilkan sekitar 650 Masehi, pada era pemerintahan Songtsen Gampo |
Dengan adanya sistem
tulisan tersendiri, mereka pun dapat menghasilkan karya sastera pertama di
Tibet. Begitu juga dengan catatan sejarah dan dokumen penting istana. Songtsen
Gampo kemudian memindahkan pusat pemerintahannya ke Lembah Kyichu yang pada
hari ini menjadi tapak bagi bandar Lhasa.
Sepanjang
pemerintahannya, Empayar Tibet berdiri megah sebagai kuasa serantau. Mereka
tidak hanya membawa masuk barang dagangan. Tetapi juga kemajuan budaya dan
teknologi dari India, Nepal, dan China. Biara Jokhang di Lhasa yang terkenal
sebagai pusat keagamaan terpenting di Tibet merupakan antara pusaka tinggalan
beliau. Songtsen Gampo turut bertanggungjawab menggubal kod perundangan
empayar, selain menubuhkan pasukan ten-tera diraja yang tersusun.
![]() |
| Biara Jokhang di Lhasa yang dianggap sebagai pusat keagamaan Buddha terpenting di Tibet dibina pada era Songtsen Gampo |
Saiz dan kekuatan
pasukan ten-teranya banyak membantu beliau menempa nama di persada sejarah.
Kempen demi kempen dijalankan bagi meneguhkan kedudukannya di rantau tersebut.
Beliau sempat mengetuai se-rangan ke atas utara Tibet dan menundukkan suku
Sumpa.
Pada tahun 635 dan 636
Masehi pula, Empayar Tibet menggem-pur Kerajaan Tuyuhun yang terletak di sekitar
tebing Tasik Koko Nur. Se-rangan ini penting buat Gampo. Ia bakal meletakkan
kekuasaannya di beberapa laluan perdagangan penting ke China. Takdir pun
seakan-akan menyebelahinya.
Tangga kekuasaan terus
didaki. Mang-sa beliau kali ini ialah wilayah-wilayah Dinasti Tang yang terletak
jauh di sempadan Dataran Tibet. Tepat pada 635 hingga 638 Masehi, dua kuasa
serantau itu saling bercakaran. Kemenangan, sekali lagi berpihak kepada Gampo.
Ibarat bulan jatuh ke
riba, Gampo dikahwinkan dengan puteri China yang bernama Wencheng. Perkahwinan
ini berlaku pada tahun 640 Masehi. Ia bukan sahaja tahun yang bermakna buat
Gampo, tetapi juga seluruh Tibet. Hadirnya Wencheng menjadi titik mula
kemasukan Buddhisme di sana, yang secara tidak langsung mengikat lagi jalinan
identiti antara dua bangsa.
![]() |
| Lukisan menggambarkan Songtsen Gampo dan Wencheng yang mempunyai pengaruh China |
MENGECAPI ZAMAN PERDANA
Memasuki tahun 645
Masehi, Songtsen Gampo dengan bantuan saudara perempuannya berjaya menguasai
Kerajaan Zhangzhung di sempadan barat Tibet. Penak-lukan ini secara langsung
meletakkan seluruh Dataran Tibet di dalam genggaman Gampo. Namun empat atau
lima tahun kemudian, maharaja agung Tibet itu pergi menyahut panggilan bumi.
Takhtanya diambil-alih
oleh cucu beliau yang bernama Mangsong Matsen. Langkah bendol dalam pewarisan
takhta ini berlaku kerana putera Gampo mangkat lebih awal. Pada era
pemerintahan Mangsong, Empayar Tibet terus menikmati perkembangan. Beliau
berjaya menyerap sepenuhnya wilayah Kerajaan Tuyuhun sekitar tahun 667 Masehi.
Tiga tahun kemudian, Mangsong menak-luki Kerajaan Khotan yang menguasai
kedudukan strategik di Laluan Sutera.
Sekitar tempoh masa
yang sama ini jugalah bermula percakaran panjang dengan Dinasti Tang. Empayar
Tibet dengan keampuhan ten-teranya berhasil memenangi keadaan, mengusir pengaruh
China dari Lembangan Tarim, dan menguasai wilayah berkenaan.
![]() |
| Bayangan pemakaian ten-tera Tibet |
Bagaimanapun, situasi
berubah seratus lapan puluh darjah sesudah kemangkatan Mangsong Matsen.
Kemakmuran bertukar menjadi kekacauan. Takhta yang diambil-alih oleh Tridu
Songtsen si putera kecil Matsen hanya berfungsi pada nama semata-mata. Beliau
dijadikan sebagai maharaja boneka, dengan kuasa sebenar berada dalam tangan
maharani yang memangku.
Pemberon-takan demi
pemberon-takan kecil di Zhangzhung tampil menunjukkan belang. Kon-flik dengan
Dinasti Tang pula tidak menunjukkan kesudahan. Kekuasaan di Lembangan Tarim habis
bertukar tangan. Keamanan antara kedua-dua belah pihak (China-Tibet) hanya
dikecapi setelah Tang tewas pada tahun 696 Masehi.
Empat tahun kemudian,
perdamaian diteruskan antara Empayar Tibet dan Dinasti Zhou. Tempoh tersebut
dimanfaatkan oleh Tridu Songtsen untuk meme-rangi Kerajaan Nanzhao di timur
laut. Namun, tuba binasa, ikan pula tak dapat. Kempen tersebut berakhir dengan
nyawa Tridu terkor-ban, sekitar tahun 704 Masehi.
Dekad-dekad yang
menyusul menyaksikan Empayar Tibet mengharungi corak suasana yang serupa:
Maharaja mangkat dan takhta digantikan oleh putera yang masih kecil (Tride
Tsuktsen). Sekali lagi, mereka terjerumus ke dalam kancah persengketaan dengan
Empayar China.
![]() |
| Empayar Tibet terkenal dengan kegagahan pasukan ten-teranya, yang berkali-kali mencabar kedudukan China |
Sekitar masa yang sama,
yakni lewat 720an, belahan dunia timur menyaksikan kemunculan drastik Dinasti
Umayyah. Bahang kon-flik mereka dengan konfederasi Turgesh-Turki dapat dirasakan
hingga ke Tibet dan China. Dalam pergelutan tersebut, Tibet menyekutukan diri
dengan Turgesh sambil China berpihak kepada Kekhalifahan Umayyah. Tahun
berganti tahun, pepe-rangan berlanjutan tanpa kesudahan muktamad.
Menjelang tahun 790
Masehi, yakni sekitar pemerintahan Trisong Detsen (putera Tride Tsuktsen),
Empayar Tibet sekali lagi berupaya meneguhkan pengaruh di Dataran Tibet dan
Asia Tengah. Dengan China terpaksa berhadapan dengan pergelutan dalaman,
Empayar Tibet seakan-akan diberi ruang untuk menghela nafas dan menikmati
semula tempoh perdananya yang telah lama tiada.
![]() |
| Lukisan menggambarkan sosok figura Trisong Detsen |
TUMBANGNYA EMPAYAR
TIBET
Sejarah sentiasa
mengajarkan kita tentang satu perkara; setiap yang jatuh akan bangun dan setiap
yang bangun pasti akan jatuh. Sekitar tahun 820 Masehi, Empayar Tibet masih
meniti masa-masa kemuncaknya sebagai kuasa serantau. Namun, segalanya tamat
dalam dekad yang singkat.
Era pemerintahan
Langdarma menyaksikan empayar tersebut digegakgempitakan oleh kekacauan di
wilayah-wilayah sempadan. Tidak ketinggalan juga perbalahan agama antara paksi
pro-Buddha dan pro-Bon. Suasana menjadi kacau-bilau.
![]() |
| Peta wilayah naungan Empayar Tibet pada kurun ke-8 Masehi |
Tahun 842 Masehi,
Langdarma ma-ti dibu-nuh. Isu pewarisan takhta berubah menjadi sengketa hebat
sesama kerabat diraja. Pe-rang saudara berskala besar pun tercetus. Api
huru-hara disemarakkan lagi oleh pembe-rontakan yang dibangkitkan oleh
kerabat-kerabat kecil Tibet.
Apa yang menyusul,
tidak lain adalah perpecahan empayar. Wilayah demi wilayah mengisytiharkan
kekuasaan mandiri dan membentuk kerajaan-kerajaan kecil. Pemerintahan pusat di
kota diraja Tibet pula berganti dinasti. Ibarat kepingan-kepingan domino,
segalanya run-tuh – meranapkan kegemilangan yang dibina selama hampir 200 tahun.
TERJEMAHAN
Aleksa Vučković. (10 Februari 2021). The History of the Tibetan Empire and
Its Dazzling Rise to Prominence. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/tibetan-empire-0014913
- Get link
- X
- Other Apps










