- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tamadun Mesir Purba
tidak pernah lekang dengan warisan yang pelbagai. Relik-relik tinggalan mereka
bertebaran di seluruh dunia dan dikagumi ramai manusia – baik piramid mahupun
mumia, seni tugu mahupun seni hieroglif, kesemuanya menjadi petanda gemilangnya
pencapaian yang diraih oleh peradaban silam di Lembah Sungai Nil.
Bagaimanapun dalam
banyak-banyak kegemilangan yang biasa didendangkan, terdapat suatu ciptaan
ulung dari Mesir Purba yang sering dikesampingkan – iaitu ketuhar telur, atau
boleh juga disebut sebagai rumah pengeraman telur, iaitu tempat di mana telur-telur
unggas dieram dan ditetaskan secara massa.
Kewujudan rumah pengeraman
telur ini secara langsung membuktikan tahap kemajuan yang dikecapi masyarakat
Mesir Purba dalam industri pembiakan unggas, yang tentunya jauh mendahului
zaman. Lebih menarik, kaedah silam yang berusia 2,000 tahun ini masih diamalkan
oleh masyarakat luar bandar Mesir sehingga ke hari ini. Kebolehgunaannya boleh
disifatkan sebagai tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Karyawan-karyawan mahir
yang mengendalikan rumah pengeraman telur ini banyak bertumpu di kampung Berme
dan kawasan sekitar, justeru mereka dijuluki sebagai bermawy. Khidmat bermawy
amat diperlukan di kawasan luar bandar Mesir, terutama selepas
penduduk-penduduk kampung selesai mengumpulkan kesemua telur unggas yang mahu
dieram dan ditetaskan.

Gambaran ruangan di dalam rumah pengeraman telur di Mesir
Rumah pengeraman ini
disebut sebagai mamal. Ia kebiasaannya dibina daripada bongkah bata
dengan ketinggian 2.4 hingga 2.7 meter. Ruangan tengahnya yang selebar satu
meter diapit oleh dua ruangan kecil di kiri dan kanan. Ruangan-ruangan kecil
ini pula dibina dua tingkat, digunakan bagi menempatkan telur-telur yang bakal
dieram dan ditetaskan.
Memandangkan suhu ruang
pengeraman perlu sentiasa dikawal rapi dan telur-telurnya pula perlu diperhati,
maka rumah pengeraman ini turut disambung dengan sebuah bilik tempat bermawy
berehat dan menetap. Umumnya, sesebuah mamal atau rumah pengeraman
mempunyai tiga hingga 12 ruang pengeraman. Sebahagian mamal dicatatkan
mampu menetaskan sebanyak 80,000 telur secara serentak.
Dalam proses pengeraman
dan penetasan, haba memang menjadi perkara utama. Bagi menggantikan haba dari
eraman unggas betina, masyarakat Mesir menggunakan api yang dihidupkan di
lubang kecil yang terdapat di ruangan atas.
Sebagai bahan ba-kar,
mereka tidak menggunakan arang ataupun kayu kerana khuatir habanya terlampau
panas sehingga menjejaskan proses pengeraman. Sebaliknya, mereka memanfaatkan
na-jis unta dan lembu yang digaul dengan jerami dan dikeringkan. Asap-asap yang
terhasil kemudian dibebaskan menerusi lubang yang terdapat pada atap ruangan
tengah.

Lukisan menggambarkan rumah pengeraman telur di Mesir (1833)
Kebiasaannya pada musim
panas, api hanya dinyalakan sekali sehari. Namun kala musim sejuk, ia
dinyalakan sehingga empat kali sehari. Adakalanya jika api tidak terbakar
dengan marak dan hanya mengeluarkan asap, bermawy akan menutup lubang
pada bumbung bagi memerangkap haba di dalam rumah pengeraman.
Sambil itu, setiap 10
hingga 12 hari pula, api dipadam kerana haba yang terkumpul di dalam tembok
rumah pengeraman sudah mencukupi untuk mengekalkan proses penetasan yang
kebiasaannya mengambil masa selama 21 hari. Selepas berlalu 12 hari, sebahagian
telur akan dipindahkan ke ruangan atas bagi mengurangkan kesesakan di dalam
sesebuah ruangan. Dianggarkan, sesebuah rumah pengeraman boleh menetaskan
sehingga 100,000,000 ekor unggas setahun.
Keberkesanan kaedah
pengeraman dan penetasan sebegini secara langsung menambahkan lagi kekaguman
terhadap tamadun Mesir Purba yang sedia masyhur dengan pelbagai pencapaian agung
– penghasilan papirus, pembinaan piramid, pengembangan matematik, dan
bemacam-macam lagi.
Aristotle sendiri
pernah mencatatkan betapa masyarakat Mesir Purba menetaskan telur dalam jumlah
yang banyak dengan menggunakan timbunan na-jis. Dua kurun kemudian, Diodorus
Siculus pula menulis hal yang serupa di
dalam karyanya, Library of History.
Bagaimanapun,
memandangkan ayam bukanlah sebahagian daripada makanan ruji masyarakat Mesir
Purba, timbul persoalan tentang telur haiwan apakah yang dieram dan ditetaskan?
Sejarahwan cuba mengaitkan persoalan ini dengan penemuan mumia-mumia yang
dikaitkan dengan Dewa Thoth.

Mumia burung sekendi yang dikor-bankan bagi memuja Dewa Thoth
Thoth merupakan salah
satu dewa utama dalam jemaah dewa-dewi Mesir, dan ia digambarkan mempunyai
kepala burung sekendi. Bagi memujanya, masyarakat Mesir kerap mengorbankan dan
memumiakan burung tersebut. Burung sekendi hakikatnya hidup secara liar.
Namun dek kerana
permintaan yang meningkat saban waktu, maka ia pun diternak sekali gus
mencambahkan satu industri yang tersendiri dalam kalangan masyarakat setempat –
sama seperti pemujaan Dewi Bastet yang meningkatkan permintaan terhadap mumia
kucing.
Sehingga hari ini,
lebih 5 juta mumia burung sekendi ditemui di seluruh Mesir. Lima juta merupakan
angka yang sangat besar dan dianggap mustahil untuk dicapai hanya dengan
pembiakan secara alami. Oleh kerana itu, sejarahwan mengandaikan masyarakat
Mesir mengembangkan suatu kaedah yang berupaya mengumpul dan menetaskan telur
burung sekendi secara massa sekali gus mewujudkan perkaitan dengan kefungsian
rumah pengeraman mamal.
Pada tahun 1750,
seorang ahli entomologi Perancis bernama Rene Antoine mengunjungi Mesir dan
melihat sendiri kefungsian rumah pengeraman mamal. Kemudian, beliau
menulis, “Orang Mesir sepatutnya lebih berbangga dengan rumah pengeraman telur
ini berbanding piramid”.
Kenyataan beliau ini
tidaklah keterlaluan. Rumah pengeraman telur adalah satu inovasi yang
mendahului zaman dan mempunyai kefungsian yang jelas. Sementara itu,
semegah-megah piramid pula, ia hanya sekadar simbol kegemilangan dengan
kegunaannya masih samar-samar dalam kalangan ilmuwan.
TERJEMAHAN
Aleksa Vučković. (9 Mac
2020). Ancient Egyptian Egg Ovens That Are Better Than Modern Tech.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-technology/egyptian-egg-0013393
RUJUKAN
- Resor, W. C. 2019. What Amazing Egyptian Chicken Hatcheries Can Tell us About Perceptions of Other Places. Teaching With Themes.
- Rennie, J. The Architecture of Birds. The Library of Entertaining Knowledge.
- Roussi, A. 2019. Ancient Egyptians mummified millions of birds. Where did they get them? National Geographic.
- Traverso, V. 2019. The Egyptian Egg Ovens Considered More Mysterious Than Pyramids. Atlas Obscura.
- Get link
- X
- Other Apps

