- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Nama Jantar Mantar
digunakan bagi merujuk kepada lima bangunan astronomi yang dibina di India pada
kurun ke-18 Masehi. Balai cerap paling besar dan paling dikenali antara semua
terletak di Jaipur, sebuah kota yang dinamakan bersempena tokoh pengasasnya,
Jai Singh II. Jai Singh sememangnya dikenali sebagai seorang pemerintah yang
cintakan ilmu astronomi.
Keunggulan bangunan
astronomi yang dibina oleh beliau masih dikagumi sehingga hari ini. Pada tahun
2010, ia diwartakan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Salah satu mercu
tanda utamanya ialah jam matahari di Jaipur yang dianggap sebagai jam matahari
batu paling besar di dunia.
Asal-usul nama Jantar
Mantar boleh dijejak daripada kombinasi dua perkataan Sanskrit, iaitu ‘vantra’
dan ‘mantra’ yang masing-masing membawa maksud ‘alat’ dan ‘menghitung’. Justeru,
Jantar Mantar umumnya boleh ditafsirkan sebagai ‘Peralatan untuk membuat
hitungan’. Nama ini sememangnya sesuai dengan fungsi Jantar Mantar sebagai
balai cerap.
![]() |
Jantar Mantar di New Delhi, India |
Selain di Jaipur,
binaan-binaan astronomi Jantar Mantar turut bertempat di Delhi, Ujjain,
Varanasi, dan Mathura. Balai yang paling awal dibina antara semua ialah balai cerap
di Delhi, iaitu sekitar tahun 1723 Masehi. Empat balai yang lain kemudian dibina
untuk tujuan menyemak ketepatan bacaan yang dilakukan di Delhi.
Walaupun semua Jantar
Mantar berkongsi beberapa alat astronomi yang sama, seperti jam matahari, namun
setiap satunya berbeza dari segi saiz, susun atur, dan seni bina. Pada hari
ini, kesemua Jantar Mantar masih berdiri dan boleh dikunjungi, kecuali balai
yang berdiri Mathura. Ia dirun-tuhkan sekitar tahun 1857, bersama tembok yang
mengelilinginya.
JAI SINGH – PEMERINTAH
YANG MEMBINA JANTAR MANTAR
Pembinaan Jantar Mantar
dikreditkan kepada Jai Singh II, pemerintah Kerajaan Amber (atau disebut
Kerajaan Jaipur). Beliau dilahirkan pada tahun 1688, di Rajasthan moden.
Sebelas tahun kemudian, ayahandanya, Bishan Singh, mangkat dan digantikan oleh
Jai Singh yang masih belia.
Ketika itu, Kerajaan
Amber berada di bawah pengaruh Empayar Mughal yang merupakan kuasa dominan di
sub-benua India. Sejak tahun 1658, empayar tersebut diperintah oleh Aurangzeb
yang dianggap sebagai pemerintah Mughal yang teragung. Beliau sememangnya
terkenal dengan dasar perluasan kuasa yang dijalankan dengan giat, sekali gus
membawa Empayar Mughal meniti masa-masa perdana.
Raja-raja Amber yang awal
rata-ratanya menangani suasana sedemikian dengan jalan diplomasi, berbanding
mengangkat sen-jata dan menghantar bala ten-tera. Sikap sebegini tidaklah begitu
menghairankan, memandangkan Kerajaan Amber terletak tidak jauh dari Delhi dan
Agra yang menjadi pusat kekuasaan Empayar Mughal.
![]() |
Jai Singh dengan sokongan maharaja Mughal bertanggungjawab membina Jantar Mantar bagi memacu minatnya dalam bidang astronomi |
Selepas mewarisi
takhta, Jai Singh meneruskan dasar tunduk kepada Mughal. Beliau merupakan
seorang yang bijak, sehingga kebijakannya itu menarik perhatian Aurangzeb.
Sejurus selepas dimahkotakan, Jai Singh diperintahkan oleh Aurangzeb untuk
menyertainya meme-rangi Maratha di Deccan.
Dek berjaya menak-luki
kubu Vishalgarh dari Maratha, Jai Singh dikurniakan gelaran ‘Sawai’ yang
bermaksud ‘satu dan satu perempat (satu suku). Gelaran ini memaksudkan yang beliau
satu suku lebih hebat berbanding moyangnya, Jai Singh I.
Gelaran tersebut
dijadikan sebagai gelaran rasmi beliau pada tahun 1712. Bagi memperingati
kurniaan tersebut, Jai Singh mengasaskan satu istiadat mengibarkan dua bendera
– satu bendera penuh dan satu bendera suku. Istiadat dan gelaran tersebut
kemudian diwarisi oleh raja-raja yang menggantikan beliau.
Memasuki tahun 1719,
hubungan Jai Singh dengan Empayar Mughal semakin akrab. Ketika itu, Mughal
diperintah oleh Muhammad Shah (1719-1748). Kemesraan antara dua raja itu bukan
sekadar memberi manfaat kepada rakyat Mughal yang beragama Hindhu, di mana
mereka dilepaskan dari jizyah.
Akan tetapi, yang lebih
utama, ia membantu Jai Singh untuk membumikan minatnya terhadap ilmu astronomi.
Dengan sokongan padu daripada Muhammad Shah, Jai Singh membina Jantar Mantar
pertama di Delhi pada tahun 1724. Empat tahun kemudian, pembinaan balai cerap
di Jaipur pula dimulakan – setahun selepas ibu kota Kerajaan Amber itu
ditubuhkan.
ALAT-ALAT ASTRONOMI DI
JANTAR MANTAR
Jantar Mantar di Jaipur
dibina betul-betul di luar Kota Istana yang dahulunya dikepung oleh tembok. Ia
merupakan balai cerap paling besar jika dibandingkan dengan empat balai lain
yang dibina oleh Jai Singh. Tambahan, lokasinya yang terletak di kawasan
pelancongan utama menjadikannya Jantar Mantar yang paling kerap dikunjungi pada
hari ini.
![]() |
Samrat Yantra atau jam matahari di Jantar Mantar |
Lebih penting, ia
merupakan balai cerap binaan Jai Singh yang paling lengkap. Secara keseluruhan,
ia menempatkan sebanyak 22 peralatan astronomi, dengan 16 daripadanya adalah
alatan batu sambil enam yang lain dihasilkan daripada pelbagai jenis logam.
Antara peralatan
astronomi paling mengujakan di situ ialah Samrat Yantra dan Rama Yantra yang
dipercayai direka sendiri bentuknya oleh Jai Singh. Samrat Yantra ialah jam
matahari yang bentuk binaannya sedikit berbeza berbanding mana-mana jam
matahari yang dibina pada kurun-kurun sebelumnya. Ketepatannya sukar ditandingi
dan ia dibina agak tinggi, kira-kira 27 meter sekali gus dianggap sebagai jam
matahari terbesar di runia.
Rama Yantra pula ialah
sepasang struktur silinder yang mempunyai sebatang tiang di tengah-tengahnya.
Setiap bahagiannya dibina sekata dengan ketinggian yang sama. Lantai dan
bahagian dalamnya pula dilengkapi dengan jubin-jubin untuk mengukur sudut
altitud dan azimut. Ia digunakan untuk mengukur kedudukan jasad samawi, dengan
menjajarkannya dengan kedua-dua puncak tiang dan lantai.
![]() |
Rama Yantra di Jantar Mantar |
HILANGNYA KEFUNGSIAN
JANTAR MANTAR
Seiring kemangkatan Jai
Singh pada tahun 1743, Kerajaan Amber turut mengalami kemunduran. Semuanya
gara-gara pertelingkahan sesama putera. Pada masa yang sama, Empayar Mughal
makin melemah sebelum akhirnya punah. Susulannya, India Utara kehilangan pemain
utama dan kuasa-kuasa luar pun mengambil kesempatan untuk menebarkan pengaruh.
Antara lokasi yang
menjadi sasaran ialah Delhi yang sememangnya kaya dengan hasil bumi. Tahun
1739, ia digem-pur oleh Nader Shah. Sembilan tahun kemudian, sesudah kemangkatan
Muhammad Shah, seluruh wilayah di India Utara disapu oleh Maratha. Jantar
Mantar di Delhi tidak terkecuali dari menjadi mangsa.
Tidak cukup dirosakkan
oleh tangan manusia, alam juga banyak menghakis binaan Jantar Mantar. Namun dek
kerana kekacauan politik yang melanda, raja-raja yang menggantikan Jai Singh
terpaksa mengenepikan Jantar Mantar dan menumpu pada hal-hal lain. Kesannya, keadaan
Jantar Mantar yang dahulunya utuh lama-lama makin run-tuh.
![]() |
Pemandangan Jantar Manar di Jaipur |
Memasuki kurun ke-19,
Jantar Mantar di Jaipur ditinggalkan buat seketika. Mujur, kerja-kerja
pembaikpulihan sempat dijalankan. Sepanjang dekad-dekad yang menyusul,
keadaannya semakin terpelihara.
Pada hari ini, Jantar
Mantar di Jaipur berdiri sebagai tarikan pelancong, selain digunakan sebagai
taman awam dan muzium terbuka. Apapun, kerosakan akibat cuaca masih tetap
menimpa. Ancaman vanda-lisme juga sentiasa ada. Keadaan sebegini cukup
membimbangkan, memandangkan nilai sejarah pada Jantar Mantar cukup tinggi
harganya.
TERJEMAHAN
Wu Mingren. (9 Februari 2020). Jantar Mantar – The Ancient Astronomical
Observatories of India. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/jantar-mantar-0013269
- Get link
- X
- Other Apps