- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Bagi masyarakat asli yang
hidup di Kepulauan Hawaii, kapu merupakan elemen penting dalam kehidupan
seharian. Ia dianggap sebagai satu perundangan yang mendasari urusan keagamaan
dan pentadbiran masyarakat, di samping banyak mempengaruhi gaya hidup dan
peranan jantina.
Kapu
sangat ditaati hinggakan sesiapa sahaja yang melanggarnya akan dijatuhi hukuman
ma-ti. Satu-satunya tempat perlindungan bagi mereka yang melanggar kapu
ialah Pulau Pu’uhonua o Honaunau. Sebaik berada di sana, tiada siapa yang dapat
mengapa-apakan mereka. Hal ini kerana pulau tersebut dianggap keramat, justeru
kadangkala ia turut dijadikan sebagai kawasan perlindungan semasa waktu
pepe-rangan.
Berbalik kepada kapu,
secara bahasa ia membawa maksud ‘larangan’ atau ‘hal keramat’. Antonim bagi kapu
pula adalah noa yang bermaksud ‘bebas dari peraturan’. Kapu
biasanya dimanfaatkan oleh golongan penguasa dan pendeta untuk mengekalkan
pengaruh mereka. Kononnya, setiap kapu yang ditetapkan ke atas manusia
adalah perintah dari dewa-dewi. Maka, penguasa dan pendeta bertanggungjawab
memastikan kapu ditegakkan.
![]() |
| Sebahagian ketetapan kapu bertujuan memelihara mana (kuasa rohani) dalam diri kahuna (penguasa) dan ali’i (pendeta) |
Antara kapu yang
boleh dijadikan contoh adalah ai’kapu, iaitu perundangan yang menetapkan
batas-batas pergaulan antara kaum lelaki dan wanita. Kapu ini juga
melarang individu yang berlainan jantina dari makan bersama.
Menurut legenda,
peraturan ini berasal-usul dari kisah Wakea (Bapa Langit) yang mahu meniduri
anak perempuannya, Ho’ohokulani. Untuk mencapai hasratnya itu, Wakea mencipta
alasan yang membolehkannya menemui Ho’ohokulani tanpa membangkitkan amarah
mahupun syak wasangka isterinya. Susulannya, lahirlah ketetapan ai’kapu
yang menjadi amalan masyarakat asli di Kepulauan Hawaii.
Seiring peredaran
waktu, larangan demi larangan tambahan dalam hal pemakanan dikenakan ke atas
kaum wanita. Mereka tidak dibenarkan memakan daging khinzir (kerana ia adalah
tubuh Dewa Lono), pisang (tubuh Dewa Kanaloa), kelapa (tubuh Dewa Ku), dan ikan
merah atau ikan bersaiz besar. Dek kerana itu, kebanyakan kaum wanita asli di
Hawaii menjadikan rumpai laut sebagai makanan ruji.
Antara ketetapan
penting yang lain adalah kapuhili. Kapu yang satu ini merangkumi
dua elemen, iaitu kapu ku mamao (waktu di mana masyarakat umum dilarang
berada berhampiran penguasa) dan kapu noho (waktu untuk menghadap
penguasa). Menurut mereka, ketetapan ini digubal bagi memelihara mana (kuasa
rohani) dalam diri penguasa (kahuna) dan pendeta (ali’i).
Dua golongan tersebut diyakini sebagai perantara di muka bumi – menghubungkan antara
manusia dan dewa-dewi.
![]() |
| Ai’kapu adalah salah satu contoh ketetapan kapu yang menggariskan batas-batas pergaulan antara kaum lelaki dan wanita |
Di dalam catatan David Malo (1795-1853) yang berjudul Hawaiian Antiquities, ada disenaraikan beberapa kapu utama secara ringkas. Antaranya adalah sebagaimana berikut:
- Kaum lelaki dan wanita perlu makan secara berasingan.
- Makanan bagi kaum lelaki dan wanita perlu dimasak di dalam imu (ketuhar tanah) yang berasingan.
- Isteri dilarang memasuki rumah ketika suaminya sedang menjamu makanan.
- Kaum wanita dilarang menjamah makanan-makanan tertentu. Antaranya daging babi, buah pisang, kelapa, dan beberapa jenis ikan.
- Masyarakat awam boleh dijatuhi hukuman ma-ti jika bayang-bayangnya menyentuh rumah pendeta atau apa sahaja barangan milik mereka.
- Jika seseorang pendeta (ali’i) berkedudukan tinggi sedang menikmati makanan, orang di sekelilingnya perlu melutut.
- Sebelum pokok kayu ditebang untuk dibuat kanu, dewa-dewi perlu dipersembahkan dengan kor-ban daging babi, buah kelapa, ikan merah, dan awa (kava; sejenis minuman).
- Jika berlaku pepe-rangan, dua perajurit terawal yang terbu-nuh akan dijadikan kor-ban untuk dipersembahkan kepada dewa-dewi.
- Nelayan-nelayan yang mahu keluar menangkap ikan opelu (ikan jenis mackerel scad) perlu berkumpul di heiau (kuil) khusus pada waktu malam bagi memuja dewa nelayan.
- Pada musim panas Hawaii (disebut sebagai kau; dari Mei hingga Oktober), ikan aku (ikan skipjack tuna) dianggap sebagai kapu dan tidak boleh dimakan.
- Sewaktu nelayan menebarkan sauk ikan, kesemua masyarakat di kampung dilarang membuat bising.
- Untuk memastikan bekalan pokok-pokok ‘iliahi (pokok cendana) tidak kehabisan, Raja Kamehameha I menggubal satu ketetapan yang ketat berkaitan penebangan pokok tersebut.
![]() |
| Individu yang melanggar kapu dapat menyelamatkan diri dari dijatuhi hukuman ma-ti dengan berlindungi di Pulau Pu’uhonua yang dianggap keramat |
Pelaksanaan kapu
kebiasaannya dipantau oleh seorang petugas yang disebut sebagai ‘ilamuku.
Jika ada mana-mana anggota masyarakat yang didapati melanggar undang-undang
tersebut, hukuman ma-ti akan segera dijatuhkan ke atasnya tanpa dakwa-dakwi
lagi. Ia dijalankan dengan berbagai-bagai cara; dicemeti, direjam, dijerut,
direndam (hingga lemas), atau diba-kar hidup-hidup.
Belas ihsan sama sekali
tiada tempat di dalam hukuman. Bagi mereka, pendekatan berlembut hanya akan
memburukkan lagi keadaan, di samping mengundang malapetaka yang besar. Sebabnya,
melanggar kapu adalah umpama membangkitkan kemurkaan dewa-dewi.
Satu-satunya harapan
buat pelanggar kapu adalah membawa diri ke Pulau Pu’uhonua, pantas
sebelum diberkas oleh ‘ilamuku. Sebaik sahaja berada di sana, kahuna
(penguasa tempatan) sendiri akan memberikan perlindungan, tempat berteduh, dan
kadangkala pengampunan. Dosa pelanggar kapu biasanya diampunkan setelah
mereka melakukan ritual-ritual tertentu, di mana sesudah itu, kehadiran mereka
akan diterima semula dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun,
perundangan kapu dihapuskan pada tahun 1819 oleh Raja Kamehameha II atas
dorongan Keopuolani (ibundanya) dan Ka’ahumanu (ratu ayahandanya). Polisi baru
ini bertujuan meningkatkan kondisi hidup kaum wanita asli Hawaii.
Penghapu-san tersebut
disimbolisasikan menerusi upacara jamuan yang dihadiri oleh kaum lelaki dan
wanita, yang selama ini dilarang makan bersama. Secara tidak langsung, polisi
tersebut juga melonjakkan nama Raja Kamehameha II dalam lembaran sejarah.
Pada hari ini, kapu
masih wujud di Hawaii dalam bentuk perundangan berkaitan pemeliharaan alam
sekitar. Perkataan ‘kapu’ biasanya ditulis pada papan tanda sebagai
larangan memasuki kawasan-kawasan tertentu bagi tujuan memeliharanya dari
anasir luar.
![]() |
| Hari ini, kapu kebiasaannya ditulis pada papan tanda bagi melarang kemasukan ke tempat-tempat tertentu |
TERJEMAHAN
Kerry Sullivan. (9 Disember 2016). The City of Refuge: Ancient Hawaiian
Sanctuary Protected Law Breakers from Death Sentence. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/city-refuge-ancient-hawaiian-sanctuary-protected-law-breakers-death-021107
- Get link
- X
- Other Apps




