- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Naga merupakan makhluk
legenda yang cukup dikenali, lebih-lebih lagi kerana ia muncul dalam kebanyakan
legenda di dunia. Secara umum, tubuh naga digambarkan seperti ular dan walau
seberat mana pun badannya, ia berupaya untuk terbang. Rata-rata mengenali naga
sebagai makhluk berkaki empat. Namun, ada juga yang hanya punya dua kaki dan
ada pula yang langsung tiada.
Bagi masyarakat Eropah
pada zaman pertengahan, naga dalam bayangan mereka dilengkapi dengan sayap dan
nafasnya pula mampu melepaskan api. Kebiasaannya, naga dianggap sebagai makhluk
jahat.
Namun, bukan semua
lelaki sama dan bukan semua naga serupa. Bagi masyarakat di belahan timur bumi,
naga tidak mempunyai sayap dan ia kebiasaannya dikaitkan dengan cuaca –
khususnya hujan (dan juga banjir). Tambahan, ia dianggap sebagai makhluk suci,
justeru dihormati dan dipandang tinggi. Dalam artikel kali ini, kami kongsikan
beberapa legenda berkaitan naga di serata dunia.
NAGA DALAM TAMADUN
EROPAH: KISAH SAINT GEORGE DAN NAGA SILENE
Kisah berkaitan naga
dari benua Eropah yang paling masyhur tidak lain dan tidak bukan adalah legenda
Saint George. Beliau diyakini hidup pada kurun ke-3 Masehi. Namun, kisah
pertarungannya dengan Naga Silene hanya tular seribu tahun kemudian, terutama
menerusi karya The Golden Legend – himpunan riwayat hidup orang-orang
kehormat (saint) dalam dunia Kristian. Ia disusun pada kurun ke-13
Masehi oleh Jacobus da Varagine, ketua biskop dari Genoa, dan kemudian dicetak
ke dalam Bahasa Inggeris oleh William Caxton pada tahun 1483.
Menurut manuskrip itu,
Saint George dilahirkan di Cappadocia, Turki moden. Setelah usianya menginjak
dewasa, beliau menumpahkan khidmat dalam pasukan ten-tera Rom. Suatu hari,
beliau membawa diri ke Libya dan berhenti di sebuah pekan bernama Silene. Sejak
sekian lama, pekan tersebut menjadi mangsa seekor naga yang hidup di dalam
tasik berhampiran.
Demi keselamatan,
penduduk pekan rela memberikan kor-ban kepada naga itu pada setiap hari.
Mulanya, dua ekor kambing. Kemudian, seekor kambing dan seorang manusia.
Kemudiannya lagi, anak kecil dan anak belia. Kebiasaannya, mangsa kor-ban
dipilih menerusi cabutan undi.
Ditakdirkan, pada hari
ketibaan Saint George, insan malang yang terkena undi adalah puteri raja. Saint
George yang terserempak dengan puteri yang sedang berdiri di tebing tasik
lantas menyapa tanpa tahu apa-apa tentang masalah yang menimpa pekan Silene.
Namun sebaik mengetahui hujung pangkal cerita, beliau pun memasang tekad untuk
melawan sang naga dan menyelamatkan si puteri.
Beberapa detik
kemudian, naga pun memunculkan diri. Saint George lantas dengan pantas membuat
isyarat salib lalu memacu tunggangan dan menye-rangnya dengan lembing. Tikaman
mengena dan naga pun tercedera. Saint George lalu meminta bengkung milik puteri
untuk mengikat leher mangsanya itu.
Sebaik selesai, beliau
pun membawa puteri pulang ke pekan sambil mengheret bersama si naga. Beliau
mahu menamatkan riwayatnya di sana. Itu pun kalau mereka rela menjadi saudara
seagamanya. Seperti yang kita boleh jangka; nyawa lebih berharga buat mereka.
Maka, naga itu pun dihabiskan dan penduduk Silene dibaptiskan.
NAGA SEBAGAI PEMBAWA
RAHMAT BAGI MASYARAKAT TIMUR
Di barat, naga dipandang
jahat. Namun di timur, ia dihormati sebagai makhluk yang luhur. Dalam tamadun
China, Jepun, dan Korea sebagai contoh, raja naga dinamakan sebagai pembawa
rahmat dan penurun hujan. Hujan sememangnya nadi dalam pertanian. Maka, raja
naga amat dimuliakan.

Di China, raja naga digambarkan berupa seperti manusia
Kononnya, jika ia
murka, maka bencana alam seperti banjir, puting beliung, dan ribut taufan akan
ditimpakan ke atas manusia. Oleh kerana itulah raja naga perlu sentiasa dipuja.
Bagi masyarakat timur, raja naga digambarkan berupa seperti manusia. Mereka
diimaginasikan hidup di istana dasar laut, dengan kesemua makhluk di lautan
adalah rakyat jelata yang tunduk pada pemerintahannya.
NAGA DI TIMUR MEMPUNYAI
CIRI SEMBILAN HAIWAN BERBEZA
Asal-usul rupa fizikal
naga dalam tamadun China dan rumpun yang seangkatan dengannya boleh dijejak
dalam legenda Huangdi, maharaja yang dianggap sebagai leluhur seluruh
masyarakat China. Dikisahkan, beliau meme-rangi sembilan suku yang hidup di
Lembah Sungai Kuning. Kesemuanya berjaya ditewaskan.
Kemudian, totem atau
simbol haiwan yang digunakan oleh setiap suku tersebut digabungkan lalu
membentuk simbol naga milik Huangdi. Semenjak itulah, naga bagi tamadun China
mempunyai ciri sembilan haiwan berbeza; mata udang, tanduk rusa, mulut kerbau,
hidung anjing, misai ikan keli, bulu kepala singa, ekor ular, sisik ikan, dan
cakar helang.
NAGA AYIDA-WEDDO DALAM
AGAMA VODOU, AFRIKA BARAT
Bagi penganut agama
Vodou, khususnya di Benin dan Haiti, mereka memuja suatu semangat (disebut loa)
yang dikenali sebagai Ayida-Weddo atau Naga Pelangi. Rupa Ayida-Weddo agak
berlainan dengan naga di timur mahupun barat. Ia saling tidak tumpah seperti
ular gergasi, cuma sisiknya agak berkilauan.
Ayida-Weddo dipuja
sebagai semangat kesuburan, pelindung air, ular, dan pelangi. Menurut mitos, penciptaan
alam semesta dimulakan dengan bumi dilingkari oleh seekor naga – kononnya untuk
mengelakkan bumi dari run-tuh. Kemudian, hujan pertama turun membasahi bumi lalu
Ayida-Weddo pun memunculkan diri. Naga pertama yang bernama Dambala Wedo jatuh
cinta pada Ayida-Weddo dan mereka pun berkahwin atau menyatu, membentuk seisi
semesta.
Bagi penganut Vodou,
kedua-dua naga tersebut dipercayai mengajarkan hal-ehwal kehidupan kepada
manusia dengan harapan mereka dapat memupuk jiwa dan menjalani hidup yang lebih
bermakna.

Gambar hiasan: Ayida-Weddo dan Dambala Wedo melingkari dunia dalam awal penciptaan semesta
NAGA APEP SEBAGAI
SETERU DEWA MESIR RA
Sama seperti Ayida-Weddo,
Apep dalam tamadun Mesir digambarkan sebagai ular gergasi. Cuma bezanya, Apep
dilihat sebagai makhluk jahat yang menebarkan kekacauan, kehan-curan, dan
kegelapan. Salah satu mitos utama tentang Apep adalah perta-rungannya dengan
dewa matahari Ra pada setiap malam.
Menurut masyarakat
Mesir Purba, matahari muncul di dada langit kerana Ra mengembara dengan
menggunakannya sebagai pedati (atau perahu). Setiap malam, Ra perlu mengharungi
ranjau berduri di Alam Bawah. Antara ancaman yang paling bahaya di sana adalah
Apep si naga.
Mitos tidak
menceritakan secara jelas di manakah kediaman Apep. Versi umum mengatakan ia
bersemayam betul-betul di sebalik ufuk dan muncul tepat sebelum subuh. Kisah
pertarungannya dengan Ra juga tampil dengan banyak versi. Di sini, kami
kongsikan secara ringkas satu versi yang biasa diceritakan.
Alkisah, Apep
disifatkan sangat berbahaya. Renungan matanya mampu membelenggu pergerakan
sesiapa pun jua, termasuklah Ra dan pengikut-pengikutnya. Mujur, Seth si dewa
kekacauan yang memihak Ra (dalam versi ini) kebal dari pukauan Apep. Maka,
Seth-lah yang meni-kam Apep dengan lembing dan membolehkan Ra meneruskan
perjalanannya bersama matahari.

Gambaran Seth men-ikam Apep dengan lembing, sambil Ra duduk di atas perahu
Bagi masyarakat Mesir
Purba, kekalahan dewa-dewi dalam perta-rungan menen-tang Apep akan mengakibatkan
matahari tidak lagi terbit sekali gus mempercepatkan kiamat. Oleh kerana itu,
mereka mengasaskan beberapa istiadat tertentu yang bertujuan melindungi dunia
dari gangguan Apep. Ritual-ritual tersebut dilaksanakan oleh golongan pendeta
pada setiap malam, dengan harapan dapat membantu Ra menewaskan naga pemus-nah
itu.
Tidak cukup begitu,
mereka juga mengadakan upacara Pengusiran Apep pada setiap tahun. Dalam upacara
itu, patung lilin Apep akan dibakar sebagai simbol keselamatan buat umat
manusia bagi tahun tersebut.
MITOS NAGA PIASA BAGI
MASYARAKAT ASLI AMERIKA
Dunia Baru turut tidak
ketinggalan dari mitos berkaitan naga. Antaranya, Naga Piasa (atau Burung Piasa)
yang dilukiskan rajahnya pada tebing bukit berhampiran Sungai Mississippi.
Catatan terawal setakat yang diketahui berkenaan lukisan tersebut disediakan
oleh Jacques Marquette, seorang peneroka dari Perancis yang menyaksikannya
semasa mengunjungi Mississippi pada tahun 1673.
Menurutnya, lukisan
tersebut mengandungi rajah dua ekor raksasa. Setiap satunya bersaiz seperti
seekor anak lembu. Ia mempunyai tanduk rusa di kepala. Matanya merah. Wajahnya
pula seakan manusia dengan bulu kepala singa. Tubuhnya panjang seperti ular dan
penuh bersisik. Ekor pula seperti ikan, namun sedikit panjang.
Gambaran burung atau naga Piasa
Kemudian pada tahun
1836, bekas profesor bernama John Russel menyiarkan tulisan yang menceritakan
kisah di sebalik lukisan tersebut. Kononnya, makhluk itu dikenali dengan nama
Piasa. Dalam bahasa Illini, ia bermaksud ‘burung pemakan manusia’. Tambah
Russell lagi, Naga Piasa pernah memangsakan kampung-kampung masyarakat asli.
Ramai pahlawan mereka menjadi kor-ban.
Huru-hara sedemikian terus
berlanjutan, hinggalah seorang penguasa bernama Ouataga memasang perangkap dan
menawarkan diri sebagai umpan. Ketika Naga Piasa menyasarkan dirinya, 20 orang
pahlawan yang sedia menanti segera keluar membuat se-rangan hendap dan membidik
panah beracun. Piasa berjaya ditum-bangkan, justeru kampung pun terselamat.
Bagaimanapun, Russell
kemudian membuat kenyataan bahawa cerita tersebut hanyalah rekaan beliau
semata-mata. Terlajak perahu boleh diundur. Tetapi jika terlajak cerita, maka
lahirlah legenda urban tanpa asal-usul seperti legenda Naga Piasa yang
direka-reka bagi mensensasikan lukisan yang dijumpai di tebing bukit
berhampiran Sungai Mississippi.
TEJU JAGUA – NAGA
BERKEPALA TUJUH DALAM MITOLOGI GUARANI
Mitos terakhir ini
diambil dari suku Guarani yang menetap di Amerika Selatan. Ia mengisahkan
tentang seekor naga bernama Teju Jagua yang disifatkan sebagai cicak gergasi
namun berkepala tujuh ekor anjing. Kononnya, mata Teju Jagua mampu mengeluarkan
api yang membakar.
Naga tersebut lahir
sebagai anak sulung kepada Tau (semangat jahat) dan Kerana (wanita dari
kalangan manusia). Hendak dijadikan cerita, Tau mengurat Kerana dengan berubah
menjadi pemuda tampan. Tujuh hari tanpa henti, Tau menziarahi Kerana namun
tetap juga gagal menambat hatinya. Lantas, Tau bertekad mahu mencu-lik Kerana.
Namun, hasrat itu dihalang oleh Angatupyry si semangat baik. Setelah berta-rung
selama tujuh hari dengan Angatupyry, Tau pun tewas.
Namun, keka-lahan itu
tidak menghalang Tau untuk mencu-lik Kerana. Dengan bantuan Pytajoyai si dewa
keberanian, Angatupyry disekat sekali gus membolehkan Tau mencu-lik dan
menghamili Kerana. Manusia kemudian memanjatkan doa kepada dewi bulan supaya
Tau dihu-kum. Maka. Tau dan keturunannya pun menerima kutukan. Kesemua tujuh anaknya
lahir menjadi raksasa, termasuklah naga Teju Jagua.
Walaupun rupa parasnya
kelihatan ganas, Teju Jagua tidaklah berbahaya. Tupa, dewa tertinggi bagi suku
Guarani, menciptakan Teju Jagua sebagai makhluk herbivor. Pemakanannya hanya
merangkumi bebuahan, termasuklah madu. Justeru itu, Teju Jagua dipuja oleh suku
Guarani sebagai pelindung bebuahan.
TERJEMAHAN
Wu Mingren. (13 Oktober
2019). Dragon Myths: Tales of Beasts, Beauties, and Brutes. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/dragon-myths-0012715
RUJUKAN
DHWTY, 2017. She Met
the Devil, Escaped a Dragon, and Survived Several Attempts on Her Life: The
Remarkable Story of St. Margaret of Antioch.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/she-met-devil-escaped-dragon-and-survived-several-attempts-her-life-remarkable-021351
Hill, J., 2019. Apep
(Apophis).
https://ancientegyptonline.co.uk/apep/
Kelly, 2019. Chinese
Dragons — Facts, Culture, Origins, and Art.
https://www.chinahighlights.com/travelguide/article-chinese-dragons.htm
McCormick, K., 2017.
Dragon Kings.
https://www.blackdrago.com/history/dragonkings.htm
McCormick, K., 2017.
Saint Margaret of Anitoch.
https://www.blackdrago.com/slayers/stmargaret.htm
mi.toys, 2019. La Prole
Maldita de Taũ y Kerana.
https://mi.toys/la-prole-maldita-de-tau-y-kerana/?lang=en&v=73101738da81
mi.toys, 2019. Teju
Jagua.
https://mi.toys/teju-jagua/?lang=en&v=73101738da81
Michel, C. &
Daniels, K. M., 2009. Aida Wedo. In: M. K. Asante & A. Mazama, eds.
Encyclopedia of African Religion, Volume 1. Los Angeles: SAGE, pp. 20-21.
New World Encyclopedia,
2016. Apep.
https://www.newworldencyclopedia.org/entry/Apep
Radford, B., 2019.
Dragons: A Brief History of the Mythical, Fire-Breathing Beasts.
https://www.livescience.com/25559-dragons.html
The BBC, 2009. Saint
George.
https://www.bbc.co.uk/religion/religions/christianity/saints/george_1.shtml
The Editors of
Encyclopaedia Britannica, 2019. Dragon.
https://www.britannica.com/topic/dragon-mythological-creature
The Editors of
Encyclopaedia Britannica, 2019. Piasa Bird.
https://www.britannica.com/topic/Piasa-bird
Took, T., 2013.
Aida-Wedo.
http://www.thaliatook.com/AMGG/aidawedo.php
- Get link
- X
- Other Apps



