- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pada tahun 1643 Masehi,
seorang biskop bernama Brynjolf Sveinsson diberikan amanah untuk memelihara 45
lembaran vellum yang mengandungi puisi dan prosa lama dari Eropah Utara. Koleksi
tersebut ditulis sekitar tahun 1270 dan dikenali sebagai The King’s Book (atau
Codex Regius).
Sepanjang tempoh
1270-1643 Masehi, ia disembunyikan daripada pengetahuan umum. Tidak lain dan
tidak bukan, tujuannya adalah supaya ia tidak dicemari atau dilupuskan oleh
gereja Rome. Sepanjang tempoh tiga kurun itu juga, kita langsung tidak memiliki
maklumat perihal manuskrip tersebut – keluarga manakah yang menyimpan Codex
Regius, dan bagaimanakah latar belakang kehidupan mereka?
Apa yang kita ketahui,
ia kemudiannya dihadiahkan kepada Raja Denmark dan semenjak itu, Codex
Regius tersimpan rapi di Copenhagen sehingga tahun 1971, sebelum akhirnya ia
dikembalikan ke Iceland. Dalam perjalanan pulang, manuskrip tersebut diangkut
oleh kapal-kapal pe-rang sebagai langkah keselamatan –menunjukkan demikian
pentingnya harga Codex Regius.
![]() |
Codex Regius menyimpan saki-baki catatan tentang kepercayaan pagan masyarakat Norse Lama, termasuklah tentang Pokok Semesta bernama Yggdrasil |
Hal ini tidak terlalu
menghairankan. Codex Regius merupakan saki-baki catatan masyarakat pagan
di Eropah Utara yang masih terselamat semenjak rantau itu dikristiankan. Isi
kandungannya banyak memerihalkan tentang mitologi atau kepercayaan pagan yang
dianuti oleh masyarakat Norse di zaman dahulukala. Secara intisarinya, mitologi
Norse berpusat dan berakar pada sebatang Pokok Semesta yang dikenali dengan
nama Yggdrasil.
YGGDRASIL DAN ODIN
Penafsiran maksud
Yggdrasil yang paling diterima dalam kalangan ilmuwan ialah ‘Kuda Odin’. Ini
kerana Ygg adalah nama lain bagi Odin, sementara drasill pula
bermaksud ‘kuda’. Bagaimanapun, perkataan itu juga boleh difahami sebagai
‘penggerak’ atau ‘perintis’, justeru ada yang berpandangan maksud Yggdrasil
ialah ‘Penggerak Odin’.
Sementara itu di dalam Codex
Regius, ada bahagian-bahagian tertentu yang seakan-akan menuding bahawa
Odin dan Yggdrasil adalah watak yang sama. Sewaktu Odin digantung pada Pokok
Semesta dan diti-kam selama sembilan hari, beliau ada menyatakan yang ‘dia
mengor-bankan diri ke dalam diri sendiri’.
![]() |
Yggdrasil adakalanya diterjemahkan sebagai Kuda Odin, memandangkan Ygg adalah nama lain bagi Odin dan drasil pula membawa maksud kuda |
Pernyataan ini
mengisyaratkan wujudnya kesatuan antara Odin si Raja Dewa dan Yggdrasil si
Pokok Semesta. Tambahan, dalam bahasa Inggeris Lama terdapat perkataan treow,
yang membawa maksud pokok (tree) dan kebenaran (truth). Justeru
secara etimologi, ‘kebenaran’ dan ‘pokok’ tumbuh daripada akar yang sama.
ASK DAN EMBLA –
PASANGAN MANUSIA PERTAMA YANG DICIPTAKAN
Selanjutnya di dalam
mitos penciptaan Norse, kita boleh dapati betapa kononnya daripada pokok jualah
lahirnya manusia. Pokok yang melahirkan Ask, lelaki pertama ialah pokok ash.
Pokok yang melahirkan Embla, wanita pertama pula ialah pokok elm. Kedua-dua pokok
ini juga berperanan merembeskan oksigen pertama yang menjadikan bumi sesuai
untuk dihuni.
Diceritakan, Ask dan
Embla keluar daripada biji ek yang dibuahkan oleh Pokok Yggdrasil. Justeru,
masyarakat Norse meyakini yang manusia lahir daripada pokok tersebut. Lalu, roh
manusia diambil oleh dua ekor burung upeh untuk dimasukkan ke dalam rahim ibu
masing-masing.
![]() |
Mitos Norse mempercayai yang pasangan manusia pertama, iaitu Ask dan Embla dicipta daripada pokok ash dan pokok elm, lalu keluar daripada Yggdrasil |
Mitos sebegini kemudiannya
melahirkan kultus memuja pokok dalam kalangan masyarakat Norse. Kultus
sedemikian dapat digambarkan menerusi catatan Artur Lundkvist, salah seorang
sasterawan Sweden yang berpaut pada kepercayaan tersebut:
“… dalam diri setiap
manusia wujud sebatang pokok, dan dalam setiap pokok wujud manusia… Aku
bersenandung bersama hutan belantara; belantara umpama lautan kedua di dunia
(sesudah lautan air), lautan di mana manusia sentiasa mengembara. Hutan wujud
dengan diam, memenuhi pergerakan alam, bersemenda dengan angin, membersihkan
udara, menenteramkan cuaca, menggembur tanah, dan menjaga keperluan manusia
(menjadi habitat haiwan).”
YGGDRASIL MERESAP DALAM
KEHIDUPAN SEHARIAN
Mitos Yggdrasil bukan
sekadar melahirkan kultus yang nyata dan ketara. Akar pengaruhnya juga menjalar
dalam kehidupan seharian masyarakat Norse, lalu meresap ke dalam beberapa
tamadun lain.
Antara lain, pengaruh
Yggdrasil melahirkan amalan menanam sejenis pokok yang disebut sebagai ‘pokok
pelindung’ di tengah-tengah rumah. Bagi mereka, ia umpama miniatur Yggdrasil
yang bertujuan mengingatkan mereka pada kepercayaan lama Norse – kepercayaan
yang berprinsipkan kebergantungan sesama isi alam.
![]() |
Yggdrasil, atau Pokok semesta dipercayai menghubungkan kesemua sembilan alam dalam mitologi Norse; bermula dari Asgard hingalah Niflheim |
‘Pokok pelindung’
kononnya mempunyai roh atau semangat yang tanpa henti memerhatikan kehidupan
seisi rumah yang berteduh di bawah dedaunannya yang rimbun. Ia umpama tiang
seri yang menjadi pasak bagi sesebuah keluarga.
Sehingga hari ini,
‘pokok pelindung’ masih menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat
Scandinavia. Bahkan, ada juga ilmuwan yang berpendapat kononnya pokok Krismas
berasal-usul daripada tradisi menanam ‘pokok pelindung’ – yang akar pengaruhnya
kembali kepada mitos Yggdrasil.
YGGDRASIL DIANCAM OLEH NAGA DAN RUSA
Codex Regius
turut memaklumkan kepada kita bahawa Pokok Yggdrasil kononnya bukanlah satu kewujudan
yang melangkaui batas pengetahuan manusia atau mencarik ruang dan masa.
Sebaliknya, ia merupakan sebatang pokok hidup yang tegap namun terancam, dan
diikat oleh tiga dimensi masa, iaitu masa lalu, masa kini, dan masa hadapan.
Ancaman bahaya yang
menimpa Yggdrasil sentiasa menjadi kebimbangan dewa-dewi Norse. Antara makhluk
yang memangsakannya ialah seekor naga yang terus-menerus menggigit Yggdrasil
hingga ke akar-akarnya. Begitu juga empat ekor rusa yang memakan dahan-dahan
Yggdrasil, di mana masing-masing bernama Dain, Dvalin, Duneyr, dan Duratro.
![]() |
Kononnya sejak mula, dewa-dewi Norse bimbangkan keselamatan Yggdrasil yang sentiasa dimang-sakan oleh naga (di dasarnya) dan empat ekor rusa yang memakan dahan-dahannya |
Kambing Heidrun dan
rusa Eiktyrner yang berada di bumbung Valhalla (mahligai dewa-dewi) juga
mengincari dahan-dahan Yggdrasil. Cuma, kedua-dua mereka memberikan hadiah
sebagai imbalan – Heidrun memberikan padang rumput manakala Eiktyrner
menghadiahkan air yang menyirami akar Yggdrasil.
NORN SI PELINDUNG
YGGDRASIL
Yggdrasil dilindungi
oleh tiga wanita tua yang dikenali sebagai Norn. Ketiga-tiga Norn ini
seringkali digambarkan berteduh di bawah Yggdrasil sambil menenun benang.
Masing-masing dikaitkan dengan Urd (masa lalu), Verdandi (masa kini), dan Skuld
(masa hadapan).
Kononnya pada setiap
pagi, dedaunan Yggdrasil akan menggugurkan embun yang memenuhi seluruh lembah.
Embun tersebut mewakili ingatan manusia terhadap hari semalam. Sebelum matahari
mengewapkannya sehingga habis, Urd akan mengutip kesemua embun itu lalu
menuangnya ke dalam Telaga Ingatan.
Di tengah-tengah telaga
itu pula hidup dua ekor angsa. Ketika kedua-duanya saling menghadap, lehernya
yang panjang diliuk-lentuk menjadi seakan-akan bentuk hati. Kononnya, daripada
telaga inilah cinta bersemi.
Sementara itu, Verdandi
(masa kini) menguruskan bunga-bunga mekar yang mewakili kehidupan. Skuld pula
membantu supaya bunga-bunga tersebut dapat terus hidup di masa akan datang.
Menariknya, nama Skuld membawa maksud hutang. Ia seakan-akan menggambarkan
betapa masa hadapan tidak akan berlaku tanpa usaha yang dilakukan pada masa
sekarang.
![]() |
Norn terdiri dari tiga wanita tua, yang selain melindungi Yggdrasil, turut dikaitkan dengan tiga dimensi masa; masa lalu, masa sekarang, dan masa hadapan |
Secara intisarinya,
Yggdrasil dilihat oleh masyarakat Norse Lama sebagai elemen utama dalam proses
penciptaan, pemuliharaan, dan kehancuran alam semesta.
Kaitannya dengan masa
juga membuatkan Yggdrasil membumi dalam kehidupan seharian mereka – ditanam
sebagai tiang seri bagi seisi keluarga supaya mereka dapat terus mengenang
kembali masa dahulu, menghargai masa sekarang, dan berusaha mengecapi masa
hadapan yang lebih baik.
TERJEMAHAN
Andreas Kornevall. (10 Mei 2019). The Norse Legend of the World Tree –
Yggdrasil. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/norse-legend-world-tree-yggdrasil-002680
- Get link
- X
- Other Apps