- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Jauh perjalanan, luas
pandangan. Besar periuk, besarlah juga keraknya. Begitulah keadaannya bagi
rakyat jelata Rom. Jajahan takluk empayar yang luas membuatkan mereka gemar
berjalan – rentas daerah, rentas wilayah, rentas selat mahupun lautan luas.
Bermula dari England di
utara hingga ke Mesir di selatan, rangkaian lebuhraya Rom yang lengkap berturap
memacukan lagi sektor komunikasi, logistik, dan perdagangan. Dianggarkan, panjang
keseluruhan lebuhraya tersebut berukuran kira-kira 53,000 batu (85,000 km).
Sebagai perbandingan, panjang lebuhraya Empayar Inca di Mesoamerika adalah
sekitar 40,000 km.
Daya ketahanan
lebuhraya Rom juga bukan calang-calang. Usianya melangkaui empayar itu sendiri.
Bahkan, tidak keterlaluan andai kita katakan yang lebuhraya Rom jauh lebih
berdaya tahan berbanding lebuhraya moden. Ketahanannya bukan sekadar terbukti
menerusi tempoh kewujudannya yang lama. Tetapi juga kurangnya kerja-kerja
penyelenggaraan yang diperlukan.
![]() |
| Lebuhraya Empayar Rom bukan hanya unggul dengan ukuran panjang keseluruhannya yang mencecah 85,000 km, tetapi juga daya ketahanannya yang tinggi |
Cuma, teknologi
lebuhraya mereka sahaja yang terkehadapan. Sistem pengangkutannya masih sesuai
dengan perkembangan yang dimiliki pada waktu itu. Justeru, berjalan-jalan
merentas daerah bukanlah sesuatu yang santai.
Perjalanan dari kota
Rome ke Naples misalnya, mengambil masa selama 6 hari sedangkan pada hari ini,
pemanduan bagi jarak yang sama hanya memakan masa 2 jam 20 minit.
Kebiasaannya, orang
kebanyakan Rom berjalan-jalan dengan menaiki raeda, iaitu sejenis
gerabak beroda empat yang dilengkapi dengan bangku kayu buat penumpang.
Bumbungnya ditutupi dengan kain (adakalanya tiada bumbung) dan ia ditarik oleh kuda atau keldai. Raeda boleh diumpamakan seperti bas awam,
dengan undang-undang Rom mengehadkan muatannya sehingga 1,000 libra (kira-kira
300 kg).
Golongan berada pula
selalunya menaiki carpentum yang berkerusi empuk dan berbumbung kayu
lengkung. Selain ditarik oleh jumlah kuda yang lebih banyak, ia juga dilengkapi
dengan sistem suspensi yang membuatkan perjalanan terasa lebih selesa – tidak
terlalu terhenjut-henjut.
Bagi tujuan industri,
Rom juga memiliki plaustrum yang boleh disamakan seperti trak. Ia
lazimnya digunakan bagi mengangkut muatan berat. Rodanya lebih tebal, dan ia
ditarik oleh dua ekor lembu. Sesuai dengan ukurannya yang berat, plaustrum
bergerak dengan sangat perlahan, iaitu kira-kira 10-15 batu (15-25 km) sehari.
![]() |
| Gambaran plaustrum (kiri) dan raeda (kanan) yang digunakan pada zaman Rom |
Cara paling pantas
untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat adalah dengan menaiki cursus
publicus (lihat gambar utama; ia seakan carpentum, cuma dilengkapi sistem transit),
iaitu perkhidmatan penghantaran yang dikelolakan sendiri oleh empayar.
Selalunya, khidmat cursus publicus digunakan bagi mengangkut
pegawai-pegawai rasmi seperti majistret atau ketua tentera.
Cuma yang lecehnya,
perkhidmatan ini memerlukan lesen kebenaran daripada maharaja. Sistem cursus
publicus bagaimanapun agak mengagumkan. Dalam jarak 12 km di jalan utama,
akan ada sebuah stesen transit yang dilengkapi kuda-kuda segar dan
penunggang-penunggang cekap.
Menurut A.M. Ramsey di
dalam kertas kajiannya yang berjudul “The speed of the Roman Imperial Post”
(diterbitkan di Journal of Roman Studies), anggaran kelajuan khidmat cursus
publicus adalah 41-64 batu sehari (66-103 km). Dalam erti kata lain,
perjalanan dari Rome ke Naples dengan menaiki cursus publicus hanya
mengambil masa dua hari berbanding enam hari bagi pengangkutan biasa.
Di samping
stesen-stesen transit cursus publicus, lebuhraya Rom turut dilengkapi
dengan stesen-stesen rehat yang dipanggil sebagai mansiones – berjarak
kira-kira 15-20 batu antara satu sama lain. Mansiones boleh diumpamakan
seperti hentian atau kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuhraya moden. Ia
mempunyai kemudahan makan minum dan rumah tumpangan untuk bermalam.
Cuma, ada gula adalah
semut. Sesuai dengan kesibukannya sebagai tempat persinggahan, mansiones
juga kerap dibanjiri kehadiran pelacur dan pencuri. Kewujudan lebuhraya
sememangnya menjadi lubuk pendapatan bagi segenap lapisan masyarakat, baik yang
atas mahupun yang bawah. Jalan-jalan utama Rom tidak lekang daripada tol, yang
kebiasaannya terletak di atas jambatan atau di pintu gerbang sesebuah kota.
![]() |
| Replika carpentum di Muzium Cologne |
Pada zaman Rom, masih
belum wujud kapal-kapal yang dikhususkan untuk tujuan persiaran. Namun, ini
tidaklah bermakna yang orang-orang Rom tidak melancong dengan menaiki kapal.
Cumanya, mereka perlu menaiki kapal dagang.
Untuk itu, pertama-tama
mereka perlu terlebih dahulu mencari kapal yang menuju ke destinasi yang
dikehendaki. Setelah itu, kebenaran daripada kapten kapal perlu diperoleh
sebelum rundingan mengenai harga boleh dilakukan.
Laut Mediterranean
sememangnya sibuk dengan aktiviti perkapalan, sesuai dengan kedudukannya yang
menghubungkan antara Dunia Timur dan Barat. Justeru, mencari kapal yang menuju
ke lokasi-lokasi penting seperti Greece dan Mesir pada waktu dan tarikh
tertentu bukanlah suatu hal yang sukar.
Bagi yang mengembara
dengan menaiki kapal, kebiasaannya mereka akan merehatkan diri di atas dek
sahaja. Hal ini kerana tidak semua kapal mempunyai kabin, dan bagi yang ada
pula, ia hanya memuatkan golongan berada. Disebabkan itu jugalah, orang-orang
Rom kebiasaannya membawa bekalan sendiri seperti makanan, pakaian, alat
permainan, dan kelengkapan tidur (selimut, tilam, dan adakala khemah).
Bagi yang mampu, mereka
juga boleh memiliki kapal sendiri. Cuma, undang-undang Rom melarang senator
dari memiliki kapal yang kadar muatannya melebihi 300 balang amphorae. Larangan
ini seiring dengan undang-undang yang mengharamkan senator dari melibatkan diri
dalam perdagangan antarabangsa.
![]() |
Walau dibandingkan
dengan hari ini, kelajuan mengembara dengan kapal di zaman Rom tidaklah begitu
perlahan. Berlayar dari Brindisium (Itali) ke Patrae (Greece) contohnya, cuma
memakan masa tiga hari berbanding sehari pada zaman ini.
Cumanya, perlayaran di
Mediterranean terpaksa ditangguhkan selama empat bulan sepanjang musim sejuk
(disebut mare clausum). Lautan terlalu bergelora untuk diharungi.
Justeru pada musim sejuk, orang-orang Rom hanya dapat menggunakan jalan darat
dan laluan sungai sahaja bagi mengangkut penumpang dan barang dagangan.
Sebagai kesimpulan,
berjalan dan mengembara pada zaman Rom Purba sememangnya tidaklah seselesa hari
ini. Bagaimanapun, segalanya dipermudahkan dengan kewujudan lebuhraya yang
sistematik, lengkap dengan segala perkhidmatan dan stesen hentian.
Kemudahan-kemudahan sebegini membolehkan orang-orang Rom menikmati perjalanan
jarak jauh dengan lebih baik berbanding tamadun-tamadun lain yang sezaman
dengannya.
TERJEMAHAN
Victor Labate. (17 Januari 2016). Ancient Journeys: What was Travel Like for
the Romans? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-technology/ancient-journeys-what-was-travel-romans-005189
- Get link
- X
- Other Apps




