- Get link
- Other Apps
- Get link
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Mehrgarh merupakan
sebuah tapak arkeologi yang terletak di Balochistan, barat daya Pakistan. Dalam
bahasa tempatan , mehr membawa maksud ‘cinta’ dan garh pula
bermaksud ‘langit’. Justeru, nama Mehrgarh boleh dimengertikan sebagai ‘langit
cinta’.
Bagi lingkungan
arkeologi, Mehrgarh dianggap sebagai salah sebuah tapak Neolitik paling penting
di Asia Selatan, lebih-lebih lagi kerana ia menyimpan bukti pertanian terawal.
Tambahan, Mehrgarh adalah tamadun yang mendahului Tamadun Lembah Indus yang
umum kenali sebagai salah sebuah tamadun terawal manusia.
Untuk memberikan
gambaran yang lebih jelas berkaitan perkembangan tapak Mehrgarh dari semasa ke
semasa, sejarahwan membahagikan penempatan di sana kepada tujuh era berbeza –
iaitu Era Mehrgarh I hingga VII.
Lokasi tepat Mehrgarh
bertempat di Dataran Kachi, tidak jauh dari Genting Bolan yang terletak di
barat Sungai Indus. Persekitaran di Dataran Kachi sememangnya sesuai untuk
diduduki manusia, terutama dengan kehadiran sumber air dan tanah yang subur.
Lokasi tamadun Mehrgarh |
Genting Bolan pula
merupakan ciri geografi yang penting kerana mampu menghubungkan antara Mehrgarh
dan rantau barat seperti Lembah Indus, Dataran Irani, dan juga Hilal Subur
(Timur Dekat). Dalam erti kata lain, Genting Bolan sejak ribuan tahun dahulu
menyaksikan berlakunya interaksi pelbagai lapisan masyarakat – baik pedagang,
pasukan ten.te.ra, mahupun suku-suku nomad. Nilai strategik yang dimiliki Genting
Bolan terus berkekalan hingga ke zaman moden, khususnya sewaktu penja.ja.h
British memanfaatkannya bagi meny.era.ng Afghanistan.
Pada hari ini, lokasi
Mehrgarh tidak jauh dari bandar Quetta, Kalat, dan Sibi manakala Mohenjo-Daro
dan Harappa yang merupakan pusat Tamadun Lembah Indus pula masing-masing
terletak di timur laut dan tenggara Mehrgarh.
Penemuan tapak
arkeologi Mehrgarh berlaku agak lewat berbanding Mohenjo-Daro dan Harappa yang
masing-masing dijumpai seawal tahun 1911 (ekskavasi pertama dilakukan pada
1920an) dan 1826 Masehi (ekskavasi pertama dilakukan pada 1920).
Mehrgarh, sebaliknya,
hanya dijumpai pada tahun 1974. Individu yang bertanggungjawab di atas penemuan
tersebut ialah Jean-François Jarrige yang bertugas sebagai ahli arkeologi
Perancis. Selain Mehrgarh, Jarrige turut mengetuai ekskavasi di beberapa tapak
arkeologi lain seperti Nausharo, Pirak, Sibri, Dauda Damb, Lal Shah, Damboli,
dan Shah Ghair.
Tapak arkeologi Mehrgarh |
Sepanjang tahun 1974
hingga 1986, Jarrige dan pasukannya menjalankan ekskavasi arkeologi di tapak
yang berkeluasan 495 ekar itu. Ia kemudian terhenti selama 10 tahun sebelum
disambung semula pada tahun 1997.
Bagaimanapun, mereka
hanya sempat bekerja selama empat tahun kerana pada tahun 2000, projek yang
merupakan usaha sama antara Misi Arkeologi Perancis dan Jabatan Arkeologi
Pakistan ini terpaksa dihentikan. Walaupun tidak sempat diselesaikan, banyak
maklumat yang sempat digali.
Tapak arkeologi
Mehrgarh merupakan sebuah tell atau gundukan buatan yang zaman berganti
zaman, semakin meninggi kerana bangunan-bangunan baru didirikan di atas
runtuhan bangunan lama.
Antara run.tu.han dari tamadun Mehrgarh |
Petempatan paling
dikenali di Mehrgarh terletak di penjuru timur laut, disebut oleh lingkungan
arkeologi sebagai MR3. Era penghunian kawasan ini dilabel sebagai Era Mehrgarh
I, dengan usianya boleh dijejak kembali pada tahun 7,000 hingga 5,500 SM,
seiring dengan berlangsungnya Zaman Neolitik. Ketika itu, Mehrgarh masih merupakan
sebuah perkampungan kecil yang bergantung sepenuhnya pada aktiviti pertanian
dan penternakan.
Kebudayaan di Mehrgarh
pada waktu itu bersifat asemarik, yakni tidak menghasilkan apa-apa jenis barang
seramik dan tembikar. Bukti arkeologi juga menunjukkan yang masyarakat Mehrgarh
ketika itu memanfaatkan bijih tembaga, serta pelbagai jenis alatan batu dan
tulang lain.
Penemuan barang buatan
tamadun asing, cengkerang yang berasal dari pantai yang jauh, dan lapis lazuli
dari Afghanistan mengisyaratkan betapa penduduk Mehrgarh sudah pun mengadakan
interaksi dengan dunia seawal Era Mehrgarh I lagi.
Pada era tersebut,
mereka menetap di dalam rumah tanah liat serba ringkas yang mempunyai empat
ruang terpisah. Rumah ini umumnya berbentuk segi empat tepat, dengan bongkah-bongkah
tanah liatnya pula berbentuk sedikit panjang. Bentuk bangunan ini agak serupa
dengan bangunan dari milenium ke-7 Sebelum Masehi di Mesopotamia, justeru
melahirkan hipotesis wujudnya hubungan antara dua tamadun berkenaan.
Gambaran reka bentuk rumah pada zaman Mehrgarh |
Mehrgarh paling
dikenali kerana menyimpan bukti pertanian terawal di Asia Selatan. Penghuni
terawalnya menanam beberapa jenis tumbuhan seperti barli, gandum einkorn,
gandum emmer, buah jujube India, dan kurma. Dapatan arkeologi juga ada
menjumpai tinggalan haiwan tenakan seperti kambing, biri-biri, dan lembu di
samping haiwan-haiwan liar seperti gazel, kerbau air, dan gajah.
Di samping pertanian
dan penternakan, tamadun awal di Mehrgarh juga menyimpan bukti penghasilan
kapas dan pene.bu.kan gigi terawal yang laporannya masing-masing diterbitkan
dalam Journal
of Archaeological Science tahun 2002 dan Nature
tahun 2006.
Peringkat pendudukan
berikutnya disebut sebagai Era Mehrgarh II yang berlangsung pada tahun 5,500
hingga 4,800 Sebelum Masehi. Ketika itu, penduduk Mehrgarh sudah mula
menghasilkan barangan seramik. Era ini juga menyaksikan berlaku perpindahan
dari kawasan MR3 ke MR4, di samping aktiviti pertanian bergiat lebih rancak
dengan barli menjadi tanaman utama.
Kawasan MR4 turut
menyimpan runtuhan beberapa buah bangunan yang dibina daripada bata jemur. Ia
berbentuk segi empat tepat dan dibahagikan secara simetri kepada beberapa
ruangan kecil. Bagaimanapun, bangunan ini dipercayai bukanlah rumah kerana ia
tidak mempunyai pintu dan tinggalan barang seharian. Lingkungan arkeologi
berpendapat ia adalah jelapang atau gudang kegunaan seluruh masyarakat.
Antara hasil seni dari zaman Mehrgarh |
Hasil seni utama yang
dikeluarkan oleh masyarakat Mehrgarh ketika itu ialah batu manik dan perhiasan
cengkerang. Antara batu yang digunakan bagi menghasilkan manik termasuklah batu
kapur, batu steatite, batu akik dan batu jasper. Kegiatan industri seni ini
mendorong kepada peningkatan aktiviti import barangan mentah dari
tamadun-tamadun luar.
Kerancakan sebegini
berlanjutan sehingga Era Mehrgarh III yang berlangsung dari 4,800 hingga 3,500
Sebelum Masehi. Pada era ini, kawasan petempatan sekali lagi berpindah – kali
ini ke MR1. Sejumlah gudang dan rumah berjaya dijumpai oleh lingkungan
arkeologi, dengan reka bentuknya didapati lebih terperinci berbanding zaman
sebelumnya. Misalnya, setiap tapak bangunan ditambak dengan batu kerikil dan
bongkah-bongkah batu binaannya pula diperbuat menggunakan acuan khusus.
Era Mehrgarh IV – VII
yang berpanjangan dari 3,500 hingga 2,500 SM pula menyaksikan penghasilan
barang tembikar dan barang seni semakin mengalami perkembangan khususnya dari
sudut reka bentuk. Sememangnya, keadaan ini sepadan dengan Zaman Tembaga yang
sedang berlangsung ketika itu.
Barangan tembikar dan perhiasan cengkerang yang dihasilkan oleh tamadun Mehrgarh |
Bagaimanapun, Mehrgarh
ditinggalkan secara besar-besaran menjelang lewat era Mehrgarh VII. Sejarahwan
mengandaikan yang ia berpunca daripada perubahan cuaca yang menjadikan bumi
Balochistam semakin gersang dan tidak sesuai untuk aktiviti pertanian. Justeru,
kebanyakan penghuninya berpindah ke Lembah Indus yang lebih subur.
Walaupun kaya dengan
nilai sejarahnya yang tersendiri, keadaan tapak arkeologi Mehrgarh pada hari
ini agak menyedihkan. Pakistan seakan-akan langsung tidak mengambil peduli
tentang tapak berkenaan, sedangkan ia sudah pun tercalon sebagai Tapak Warisan
Dunia UNESCO.
Pada tahun 2002,
Mehrgarh menjadi mang.sa perba.la.han kaum antara Raisani dan Rind yang saling
berbalas tem.ba.kan pe.lu.ru berpandu. Akibatnya, tapak berkenaan mengalami
kero.sa.kan teruk. Oktober 2014 pula, pihak berkuasa Itali member.kas sin.di.ket
penjualan barangan antik dari Mehrgarh secara ha.ram di Rome. Bagaimanapun, barangan
tersebut masih belum dipulangkan kerana sikap tidak peduli yang dipamerkan oleh
kerajaan Pakistan.
Cukup menghampakan,
apabila tinggalan bersejarah yang seharusnya dimiliki secara bersama oleh
seluruh penduduk dunia dikesampingkan, diabaikan, dan dibiarkan tidak
terpelihara akibat kealpaan pihak berkuasa.
TERJEMAHAN
Wu
Mingren. (23 September 2019). A Treasure in Ruins: Ancient Mehrgarh Lost to
Thieves and Violence. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mehrgarh-0012615
- Get link
- Other Apps