- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Sembilan Dewi Muse di
dalam mitologi Yunani disifatkan sebagai puteri kepada Zeus dan Mnemosyne
(Memori). Masyarakat Yunani dan Rom purba memuja mereka sebagai dewi pengurnia
ilham, idea, dan inspirasi kepada individu-individu yang terlibat dalam
penghasilan karya kreatif seperti puisi, muzik, dan lukisan.
Mitos utama berkaitan
Sembilan Dewi Muse tercantum di dalam karya Hesiod yang berjudul Theogony.
Dalam karya tersebut, Hesiod mengisahkan kelahiran Muse sebagaimana berikut,
“Sembilan malam suntuk Zeus bersemenda bersama Mnemosyne, jauh daripada
manusia. Tatkala waktunya tiba; yakni setelah bulan bergulir dan musim
berganti, si dewi Memori pun melahirkan sembilan puteri – kesemuanya berkongsi
hati berkongsi rasa, bergirang gembira dalam nyanyi dan tari.”
Jika diimbau kembali, penisbahan
Mnemosyne sebagai ibu kepada dewi-dewi Muse seperti yang didakwa oleh Hesiod
sememangnya agak sesuai. Hal ini kerana Mnemosyne merupakan puteri Ouranos dan
Gaia yang bertanggungjawab ke atas memori atau kotak ingatan.
Secara khusus,
Mnemosyne dikaitkan dengan daya hafalan yang diperlukan oleh masyarakat Yunani
dalam memelihara mitos dan sejarah mereka sebelum terbentuknya sistem tulisan.
Oleh kerana itu, perkaitan antara Mnemosyne dan dewi-dewi Muse dilihat agak
relevan. Tambahan, Mnemosyne turut
disifatkan sebagai pencipta bahasa, perkataan, dan melindungi peredaran zaman.
Selain versi Hesiod,
mitos Dewi-Dewi Muse juga tampil dalam beberapa versi lain. Diodorus Siculus
(sejarahwan Yunani) misalnya menyifatkan mereka sebagai puteri Ouranos dan
Gaia. Homer di dalam Odyssey pula menyebutkan Muse sebagai zuriat Zeus, tanpa
membuat apa-apa penisbahan dengan Mnemosyne.
Perbezaan versi ini
bukan sekadar melibatkan kelahirannya, tetapi juga angka bilangannya. Nama Muse
umumnya mewakili sembilan dewi. Namun menurut Pausanias (ahli geografi Yunani),
jumlah mereka pada asalnya cuma tiga – iaitu Melete (Meditasi), Mneme (Memori),
dan Aoede (Lagu). Kultus pemujaan mereka dimulakan oleh gergasi Otus dan
Ephialtes, namun diubah oleh Pierus of Emathia yang membuat penambahan bilangan
dan penukaran nama sebagaimana yang kita kenali hari ini.
Dewi-dewi Muse kononnya
menetap di Gunung Olympus dan tempat kegemaran mereka ialah Gunung Helicon.
Menurut sejarahwan, bapa Hesiod berasal dari bandar Aeolian, Asia Kecil. Beliau
kemudian berpindah ke Ascra, sebuah kampung yang bertempat di sisi timur Gunung
Helicon. Di sinilah Hesiod dilahirkan dan dibesarkan, justeru tidak hairan jika
beliau mendakwa Gunung Helicon sebagai persinggahan dewi-dewi Muse.
![]() |
Sembilan dewi Muse |
Menurut Hesiod, nama kesembilan-sembilan dewi Muse berserta peranan dan simbol peribadi mereka adalah seperti berikut:
- Clio: Muse sejarah dan dijuluki sebagai ‘Pemberita’. Clio sering dikaitkan dengan buku, lembaran kertas, dan clarion sejenis trumpet).
- Euterpe: Muse puisi, not muzik, dan lirik lagu. Ia digelar sebagai ‘Yang Menyenangkan’ dan kebiasaannya dikaitkan dengan aulos (sejenis alat muzik Yunani yang seakan-akan seruling).
- Thaleia: Muse komedi dan puisi rakyat. Julukannya ialah ‘Yang Ceria’ manakala simbol peribadinya ialah topeng muka dan tongkat penggembala.
- Melpomene: Muse tragedi dan dijuluki sebagai ‘Yang Menyanyi’. Simbol peribadinya juga berbentuk topeng muka, cuma bezanya ia beriak sedih. Simbol lain ialah pedang dan cothurnus (sejenis kasut but).
- Terpsichore: Muse tarian dan digelari sebagai ‘Yang Menari’. Terpsichore sering dikaitkan dengan kecapi.
- Erato: Muse puisi cinta. Gelarannya ialah ‘Yang Mengasihi’ dan ia sinonim dengan cithara, sejenis alat muzik bertali.
- Polyhymnia: Muse gita puji dan digelari ‘Pemilik Kata Pujian’. Polyhymnia selalunya digambarkan bertutup kepala dan bersifat pemalu.
- Urania: Muse astronomi (yang dianggap sebagai ranting falsafah alamiah). Gelarannya ialah ‘Yang Mulia’. Urania kerap disinonimkan dengan glob, kompas, dan jubah yang dipenuhi motif bintang.
- Calliope: Muse puisi epik dan digelari sebagai ‘Pemilik Suara Indah’. Simbol peribadinya ialah tablet tulisan dan pena stylus. Calliope juga kerap digambarkan memegang naskhah Illiad dan Odyssey karangan Homer. Umumnya, Calliope dianggap sebagai ketua segala dewi-dewi Muse.
Walaupun disinonimkan
dengan segala keayuan, dewi-dewi Muse turut disifatkan sebagai pantang dicabar.
Dalam karya Ovid yang berjudul Metapmorphoses, diceritakan bahawa Pierus
si raja Macedon mempunyai sembilan orang puteri yang dikenali secara kelompok
sebagai Pierides.
Sebaik mencapai usia
dewasa, mereka mengembara ke seluruh tanah Yunani dan berkunjung ke rumah
dewi-dewi Muse untuk membuat perhitungan. Perhitungan ini memperta.ruhkan
kedudukan dan tempat tinggal masing-masing – jika te.was, dewi-dewi Muse perlu
meninggalkan Gunung Helikon dan Aganippe Hyantea, sementara Peirides pula perlu
keluar daripada Emathia dan pergunungan Paeonia.
Cabaran tersebut
diterima. Nimfa dipilih sebagai hakim. Acara lantas bermula. Pierides
menghantar wakil yang menyanyikan kisah Gigantomachy (pertem.puran antara
dewa-dewi Olympia dan Gigantes) yang penuh disulami kata-kata provo.kasi.
Calliope yang mewakili Muse pula mendendangkan kisah pencu.likan Persephone
dengan bernadakan melankoli.
Usai perhitungan, nimfa
memutuskan dewi-dewi Muse sebagai pemenang. Alah sabung, menang sorak. Pierides
yang tidak dapat menerima keka.lahan lantas melemparkan kata-kata ke.sat – tajam
bak onak. Kesabaran Muse teruji. Mereka lantas menyum.pah Pierides menjadi
burung murai, sesuai dengan kebecokan mereka.
![]() |
Dewi-dewi Muse menyumpah Pierides menjadi burung murai |
Dewi-dewi Muse umumnya
disifatkan sebagai perawan. Namun, ada beberapa mitos yang menamakan mereka
sebagai ibu kepada beberapa orang perwira legenda. Antaranya termasuklah
Orpheus, pemuzik dan pemuisi legenda Yunani yang didakwa sebagai puteri
Calliope.
Pada hari ini,
dewi-dewi Muse tidak lagi dipuja. Cuma, namanya masih dihidupkan sebagai
perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud ‘sumber inspirasi’ dan biasanya
digunakan bagi merujuk mana-mana wanita yang wujudnya mengilhami sesebuah
karya.
Ruang lingkup kesenian
yang dipayungi oleh muse juga lebih meluas berbanding pada zaman dahulu;
kini ia mencakupi seluruh bahan kesenian, kesusasteraan, dan pengetahuan.
Perlambangan ini diabadikan menerusi penggunaan perkataan muzium (museum)
yang diambil daripada perkataan mouseion dalam bahasa Yunani, yang
bermaksud ‘kuil Muse’.
TERJEMAHAN
Wu
Mingren. (6 April 2020). The Nine Daughters of Zeus and Memory, Goddesses of
the Arts. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/nine-muses-0013523
- Get link
- X
- Other Apps