PIRAMID CHOLULA – PIRAMID TERBESAR DI DUNIA YANG DULUNYA DISANGKA SEBAGAI GUNUNG SEMULAJADI

  

Penterjemah: Amir Zayyanid

 

Mesoamerika menempatkan banyak piramid. Sebahagiannya cukup dikenali, sambil ada pula yang namanya langsung tidak pernah didengari. Walaupun menerima pengiktirafan daripada Guinness Book of Records, kewujudan Piramid Besar Cholula agak dikesampingkan.

Ia dinobatkan sebagai piramid terbesar di dunia berdasarkan isipadunya yang dianggarkan lebih 2.5 juta meter kubik berbanding Piramid Giza yang hanya sekadar 2.5 juta meter kubik. Jika melihat ukuran keseluruhan, Piramid Chlula berdiri setinggi 66 meter sambil panjang dan lebar tapaknya pula adalah 450 meter. Sementara itu, ketinggian Piramid Giza adalah 147 meter dengan setiap sisi tapaknya berukuran 230 meter.

Piramid Cholula terletak berhampiran Puebla, bandar keempat terbesar di Mexico. Menurut sejarah, ia dibina khusus buat Quetzalcoatl, salah satu dewa utama dalam panteon Mesoamerika. Pada zaman pra-Columbia, Cholula merupakan sebuah kota besar dan berperanan sebagai pusat keagamaan di sekitar tanah tinggi Mexico.

 

Perbandingan saiz antara Piramid Cholula dan Piramid Giza

 

Piramid Cholula juga dibangunkan untuk memuja sebuah gunung berapi berhampiran, yang dikenali sebagai Popocatépetl. Hal ini dibuktikan menerusi bentuk binaan Piramid Cholula yang direka mengikut kontur gunung tersebut. Tambahan, ia mempunyai nama lain, iaitu Tlachihualtepetl yang membawa maksud ‘Gunung Buatan’.

Pembinaan Piramid Cholula dimulakan pada kurun ke-2 Sebelum Masehi dan tahun demi tahun, ia menjalani beberapa peringkat pembinaan sebelum mengecapi bentuk terakhirnya seperti yang boleh kita saksikan pada hari ini.

Piramid terawal di Cholula dipercayai dibangunkan pada sekitar masa yang sama dengan piramid-piramid di Teotihuacan, sebuah lagi kota keagamaan di Mesoamerika yang berjarak kira-kira 100 km dari Cholula. Berdasarkan persamaan ciri yang dimiliki oleh Cholula dan Teotihuacan, lingkungan ilmuwan mengandaikan wujud hubungan akrab antara dua buah kota berkenaan.

 

Gambaran rupa Piramid Cholula sewaktu era kegemilangannya

 

Sekitar tahun 600 Masehi, kota Cholula dikuasai oleh tamadun Olmec-Xicallancas (100-650 M). Banyak penambahan dilakukan pada struktur piramid sepanjang tempoh kekuasaan mereka. Memasuki 1100 M, Cholula beralih tangan kepada tamadun Toltec-Chichimecas (kurun ke-10 hingga ke-12 M). Dicatatkan, sekitar masa inilah Piramid Cholula mula diaba.ikan dan kemudian diselubungi hutan belantara.

Piramid-piramid baru dibina, membuatkan signifikasi Piramid Cholula dilupakan. Bagaimanapun, kota Cholula itu sendiri mengecapi kemakmuran dan mampu bertahan dari an.ca.man Empayar Aztec (c. 1345-1521 M) selama beberapa tempoh sebelum ja.tuh jua akhirnya.

Pada tahun 1519, Hernán Cortés tiba di Cholula. Memandangkan keadaan Piramid Cholula tidak terpelihara sejak sekian lama, maka pihak penja.ja.h tidak menyedari betapa ia sebenarnya adalah monumen binaan manusia dan bukannya bukit semulajadi.

 

Terowong di dalam Piramid Cholula

 

Kewujudan Piramid Cholula hanya kembali disedari pada awal kurun ke-20, atau tepatnya pada tahun 1910. Segalanya bermula apabila pihak kerajaan berhasrat mahu membangunkan sebuah rumah sa.kit jiwa di tapak Piramid Agung. Setelah megetahui keberadaan Piramid Cholula, kerja-kerja pembinaan dihentikan dan digantikan dengan kerja-kerja ekskavasi arkeologi.

Untuk menyelidik bahagian dalam piramid dengan lebih lanjut, ahli-ahli arkeologi yang bertugas membuat beberapa buah terowong sekitar 1930an. Hasil tinjauan mendapati wujud rangkaian laluan dalam piramid yang panjang keseluruhannya mencecah 8 km. Pada hari ini, laluan-laluan tersebut dibuka kepada umum sebagai nilai tambah buat para pengunjung.

Walaupun Piramid Cholula menerima pengiktirafan peringkat antarabangsa, nama bandar dan piramid itu sendiri janggal pada telinga kebanyakan masyarakat dunia. Pada satu sisi, ketersampingan ini dilihat agak merugikan kerana signifikasinya seakan tidak dihargai. Namun pada sisi lain, ia mempunyai hikmah yang tersendiri di mana Piramid Cholula terhindar dari ri.siko kero.sa.kan atau van.dali.sme yang biasa ditanggung oleh tempat-tempat bersejarah masyhur.

 

Gambar yang diambil pada tahun 1909, setahun sebelum kewujudan Piramid Cholula kembali disedari

 

TERJEMAHAN
Wu Mingren. (9 Disember 2015). Once Hidden in Plain Sight and Surprisingly Ignored: The Great Pyramid of Cholula. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/once-hidden-plain-sight-and-surprisingly-ignored-great-pyramid-cholula-020650