- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Jika dibandingkan
dengan mana-mana tempat lain di dunia, hutan hujan Amazon merupakan tempat yang
paling banyak menyimpan suku-suku asli yang hidup secara terpencil. Anggaran
kini mendapati wujud lebih 100 suku asli yang tidak pernah berinteraksi dengan
dunia luar.
Walau semoden mana pun
kehidupan yang dilalui oleh rata-rata masyarakat sedunia pada hari ini, mereka
lebih memilih untuk menjalani kehidupan sebagaimana yang ditempuhi oleh
nenek-moyang mereka sejak ribuan tahun dahulu.
Pilihan ini tidak lain
dan tidak bukan adalah kerana rasa trauma terhadap penderitaan yang dialami di
zaman silam, khususnya ketika mereka berinteraksi dengan orang luar.
Menurut sejarah, hutan
Amazon dihuni buat pertama kali kira-kira 13,000 tahun dahulu. Walaupun hutan
ini kebiasaannya dianggap sebagai hutan murni, bukti arkeologi mendapati
hidupan di dalamnya sedikit-sebanyak turut dipengaruhi oleh aktiviti manusia.
Hal ini dapat dilihat menerusi kesan tinggalan pekan dan bandar yang pernah
wujud di sana suatu ketika dahulu.
Kebanyakan pokok yang
dijumpai di kawasan penyelidikan arkeologi di Amazon juga rata-ratanya bukan
daripada spesis liar sekali gus membuktikan lagi betapa ia dipengaruhi oleh
kehadiran manusia. Pada zaman prasejarah, populasi manusia di Amazon jauh lebih
besar berbanding hari ini. Hutan seluas 5.5 juta km persegi itu dipercayai
dahulunya menempatkan pelbagai tamadun yang bersilih ganti.
Namun, untung nasib
suku-suku asli di Amazon berubah seiring kehadiran orang-orang Eropah. Mereka
dijajah, diperhambakan, dibunuh, dan ramai juga yang menjadi korban wabak
penyakit yang dibawa dari Dunia Lama.
Disebabkan pengalaman
pahit itu, sebahagian suku asli di Amazon memilih untuk berundur ke ceruk hutan
dan memutuskan tali interaksi dengan dunia luar. Semenjak itu, mereka dikenali
sebagai ‘suku yang tidak dapat dihubungi’. Mereka hidup secara mandiri dengan
mengamalkan gaya hidup memburu-menternak, di samping turut mengusahakan tanaman
berkala.
Mujur, ekosistem di
Amazon barat agak stabil jika dibandingkan dengan Amazon timur. Hutan belantara
di sana kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan.
Ikan-ikan di sungai
lebih daripada cukup untuk menampung kehidupan mereka. Adakalanya, mereka
menikmati telur penyu dan daging haiwan liar atau burung yang diburu.
Sebahagian mereka hidup secara nomad. Namun, ada juga yang bermukim secara kekal
dalam kelompok kecil.

Salah sebuah petempatan suku asli di Brazil
Menjalani kehidupan
yang akrab dengan alam membuatkan suku-suku asli ini prihatin dengan hidupan
semulajadi. Oleh kerana itu, sejak kewujudan mereka diketahui, pihak berkuasa
tempatan cuba memberikan penghormatan yang sebaik mungkin kepada mereka –
khususnya dalam menjamin hak suku-suku asli tersebut ke atas tanah pusaka yang
didiami mereka sejak sekian lama.
Sebahagian tempat di
Brazil dan Ecuador misalnya, mewartakan kawasan hutan yang dihuni oleh
suku-suku asli tersebut sebagai hutan simpan dan melarang mana-mana orang luar
termasuklah syarikat minyak dan pembalakan dari menjejakkan kaki ke sana.
Hal ini bukan hanya
kerana aktiviti kedua-duanya berupaya menjejaskan kelestarian sedia ada,
malahan sebarang interaksi dua hala boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.
Kebanyakan suku asli di hutan Amazon tidak pernah terdedah kepada
penyakit-penyakit moden, justeru pertemuan dengan orang luar mampu menebarkan
kesan yang bukan kecil.
Pada awal 1980-an, suku
Nahua secara tidak sengaja terserempak dengan pasukan peneroka yang dihantar
oleh syarikat minyak terkemuka, Shell. Akibatnya, dalam tempoh beberapa tahun,
kira-kira 50% dari populasi Nahua meninggal dunia akibat diserang penyakit
hepatitis B dan batuk kering.
Nasib yang sama turut
menimpa suku Matis yang dihubungi di Brazil pada tahun 1978. Angka korban
mereka sangat ramai, hinggakan pada tahun 1983, suku Matis hanya ditinggalkan
dengan 87 orang. Musibah tersebut amat mendukakan, sampaikan buat beberapa
tempoh, mereka berhenti dari melakukan sebarang upacara tradisional dan
melahirkan zuriat.
Suku tersebut masih
wujud pada hari ini. Namun, parut luka mereka masih berbekas.
Ancaman sebegini
menjadi salah satu faktor yang mendorong mereka untuk hidup menyendiri dan
bersikap agresif terhadap orang luar. Bagi mereka, kehadiran orang luar selalunya
membawa malapetaka. Oleh kerana itu, berlaku banyak kes pembunuhan tanpa
provokasi ke atas mana-mana individu yang menceroboh masuk ke dalam kawasan
mereka.
Walaupun ekosistem di
Amazon barat jauh lebih baik berbanding Amazon timur, kekayaan sumber alam
khususnya minyak dan kayu balak mengundang perhatian pelbagai pihak. Sebahagian
kawasan di hutan Amazon sememangnya dilindungi oleh pihak berkuasa. Namun, ada
juga zon yang dibenarkan untuk diteroka oleh syarikat-syarikat tertentu, yang
tentunya bakal mengganggu ketenteraman suku-suku asli di sana.

Sungai Amazon yang menjadi nadi kehidupan bagi suku-suku asli yang menetap secara terpencil di dalam hutannya yang tebal
TERJEMAHAN
Caleb Strom. (27 Februari 2019). The Uncontacted Frontier: Tribes of the
Amazon want to be Left Alone. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/uncontacted-tribes-0011550
- Get link
- X
- Other Apps
