- Get link
- X
- Other Apps
TRADISI PENGEBUMIAN DI DESA TRUNYAN – JASAD DIBIARKAN MEREPUT SENDIRI TANPA DIBAKAR MAHUPUN DIKEBUMI
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Trunyan (juga dieja
Terunyan) merupakan sebuah desa yang bertempat di Pulau Bali, Indonesia.
Lebih tepat, lokasinya terletak di pantai timur Tasik Batur, Daerah Bangli.
Tasik Batur pula terletak bertentangan dengan Gunung Batur, salah sebuah gunung
berapi aktif di negara seberang.
Dalam kalangan
masyarakat tempatan, Desa Trunyan dijuluki sebagai Pulau Tengkorak. Julukan
tersebut merujuk kepada tradisi pengebumian mepasah yang diamalkan oleh
suku Aga Bali, yang rata-ratanya bertumpu di Kabupaten Karangasem.
Suku Aga Bali
dipercayai merupakan penghuni asal Pulau Bali sejak sebelum kemunculan Empayar
Majapahit lagi, di mana sekitar kurun ke-14 Masehi, pengaruh empayar itu
berkembang hingga ke Pulau Bali dan penduduknya pula berpindah ke sana sekali
gus menjadi leluhur bagi kebanyakan warga Bali pada hari ini.
Sejarah mulanya
pertapakan Aga Bali di Pulau Bali diambil daripada mitos dan kisah rakyat
tempatan. Mitos paling masyhur berkenaan sejarah penubuhan Desa Tenganan,
Pengringsingan,Trunyan, dan Pedawa kesemuanya melibatkan campur tangan seorang
lelaki bernama Rsi Markandeya.
Menurut mitos, beliau
berasal dari Gunung Raung, Jawa Timur dan tiba di Pulau Bali pada kurun ke-8
Masehi bersama beberapa ratus orang pengikut. Namun, ramai pengikutnya dijemput
ma.ut akibat diserang wabak penyakit. Susulan daripada itu, Rsi Markandeya pun
membawa masuk kira-kira 400 orang lain dari suku Aga.
![]() |
| Pemandangan Desa Trunyan |
Bagi memohon
keselamatan, beliau melaksanakan upacara panca datu tepat di suatu
lokasi di lereng Gunung Agung (kini lokasinya disebut sebagai Pura Besakih).
Dalam upacara yang boleh diumpamakan seperti upacara pecah tanah itu, Rsi
Markandeya menanam lima jenis logam – iaitu emas, perak, besi, tembaga, dan
batu berharga. Di atas jasanya itu, nama Rsi Markandeya meniti bibir generasi
demi generasi di Bali sebagai Bapa Suku Aga Bali.
Antara kesemua desa suku Aga Bali, desa yang paling tersohor dan mudah dimasuki ialah Desa Tenganan, berjarak kira-kira 17 km dari Amlapura, ibu kota Kabupaten
Karangasem.
Salah satu tarikan
utama di Tenganan adalah kain gringsing yang dihasilkan dengan teknik tenun
ikat berganda. Kain gringsing bukan sekadar berharga kerana memiliki nilai
estetika yang tinggi, tetapi juga kerana signifikasinya dalam tradisi tempatan,
seperti upacara po.tong gigi, pernikahan, dan keagamaan.
Berbeza dengan Desa Tenganan yang dikenali ramai, Desa Trunyan agak terpencil justeru sukar
dimasuki. Satu-satunya akses ke sana adalah dengan menaiki bot selama 30 minit,
merentasi Tasik Batur. Oleh kerana itu, jumlah pelancong yang boleh mengunjungi
Desa Trunyan pada setiap hari amat terhad.
Bagaimanapun, keadaan
ini sama sekali tidak mengurangkan daya tarikan Desa Trunyan baik dari sudut
tradisi mahupun legenda asal-usulnya. Di samping legenda Rsi Markandeya,
Desa Trunyan juga mempunyai beberapa versi penceritaan yang lain sebagaimana
yang akan dikongsikan di penghujung artikel.
![]() |
| Laluan masuk ke perkuburan Desa Terunyan |
Cara hidup di Tenganan
dan Trunyan agak berbeza walaupun kedua-duanya dihuni oleh suku Aga Bali.
Perbezaan ini berlaku baik pada sudut bahasa pertuturan mahupun tradisi tempatan,
termasuklah tradisi pengebumian.
Penduduk Tenganan
menyemadikan jasad mendiang mereka dengan cara yang sama seperti penganut agama
Hindu yang lain, iaitu kremasi. Namun bagi penduduk Trunyan, mereka
membiarkannya mereput begitu sahaja sekali gus melahirkan tradisi pengebumian
yang dikenali sebagai mepasah.
Dalam tradisi ini,
sebelum jasad dibawa ke tempat persemadian ia terlebih dahulu dibasuh dengan
air hujan dan dibalut dengan kain – kecuali bahagian kepala yang sengaja
didedahkan. Penyemadian juga hanya boleh dilakukan pada hari-hari tertentu, di
samping memerlukan penyediaan wang yang mencukupi.
Semasa jasad dibawa ke
tempat persemadian, kaum wanita dilarang ikut serta. Kononnya, jika tradisi ini
tidak diikuti maka ben.cana gempa dan gunung berapi akan terjadi. Bagaimanapun,
pada waktu-waktu lain mereka dibenarkan untuk mengunjungi tempat persemadian
seperti biasa.
Sema Wayah, tempat
persemadian yang dimaksudkan ini mempunyai 11 buah rumah atau sangkar yang
diperbuat daripada buluh dan ditutup dengan daun kelapa. Di dalam rumah inilah
jasad penduduk Kampung Trunyan akan ditinggalkan sehingga reput – tanpa
dikebumikan.
Kebiasaannya, gambar
mendiang akan digantung atau disandarkan pada batang buluh sambil barangan
peribadinya pula dilonggokkan di hadapan jasad mendiang.
![]() |
| Rumah buluh tempat bersemadinya sebahagian penduduk Desa Terunyan |
Memandangkan bilangan
rumah persemadiannya tidak banyak, maka sejurus selepas jasad mendiang reput
secukupnya (sekitar setahun), rangka yang tersisa akan dibuang serta-merta.
Tulang-belulangnya pula dibersihkan dan ditaburkan secara berselarak, sambil
tengkorak mendiang diletakkan di belebas berhampiran (seperti di gambar utama).
Tidak semua penduduk
Desa Trunyan dibenarkan untuk bersemadi di Sema Wayah. Tempat ini
dikhususkan buat mereka yang sempat mengharungi kesemua peringkat kehidupan. Dalam
erti kata lain, orang bujang mahupun andartu tidak dibenarkan untuk bersemadi
di sini.
Hal ini termasuklah
mereka yang meninggal dunia akibat sakit atau ma.ti mengejut (kemalangan atau bu.nuh
diri umpamanya). Bagi keadaan sebegini, mereka akan dikebumikan (ditanam) di
Sema Bantas. Terdapat juga tempat persemadian ketiga di Kampung Trunyan,
dikenali sebagai Sema Nguda yang menghimpunkan kedua-dua kaedah pengebumian
tersebut.
Walaupun tradisi mepasah
memperlihatkan jasad mendiang dibiarkan mereput begitu sahaja, penduduk kampung
mahupun pelancong rata-ratanya tidak bermasalah dengan keadaan sedemikian –
baik dari sudut pencemaran bau mahupun pencemaran pemandangan.
Bau busuk daripada
jasad mendiang kononnya tidak mengganggu kerana tempat-tempat persemadian
berada hampir dengan sebatang pokok banyan tua yang dikenali sebagai Taru
Menyan. Bagi masyarakat tempatan, pokok ini juga menyimpan satu legenda
tersendiri yang turut terkait dengan kisah penubuhan Kampung Terunyan.
![]() |
| Tradisi mepasah melibatkan jasad mendiang dibiar mereput begitu sahaja di dalam rumah buluh |
Dikisahkan, pada masa
dahulu Taru Menyan mengeluarkan bau yang harum semerbak hingga boleh dihidu
oleh empat orang saudara dari Keraton Surakarta. Dek kerana tergamit dengan
bauan tersebut, mereka berempat pun meredah lautan dan mengunjungi Trunyan.
Sesampai sahaja di
sana, saudara sulung jatuh cinta dengan semangat pokok Taru Menyan lalu
mengahwininya. Kemudian, beliau menubuhkan sebuah kerajaan kecil di Trunyan dan
dipuja sehingga hari ini sebagai Ratu Sakti Pancering Jagat.
Si raja yang bijaksana
menyedari betapa bauan semerbak pokok Taru Menyan boleh menarik perhatian pihak
luar sekali gus membahayakan kerajaannya. Oleh kerana itu, beliau melarang
mayat rakyat jelatanya dikebumikan.
Beliau sebaliknya
memerintahkan supaya ia diletakkan di bawah pokok Taru Menyan dan dibiarkan
mereput begitu sahaja. Dengan demikian, bauan semerbak Taru Menyan tidak lagi
tersebar jauh dan pada masa yang sama, ia dapat menenggalami bau busuk mayat.
![]() |
| Pokok Taru Menyan dipercayai mengeluarkan bau harum semerbak yang mampu menenggelamkan bau busuk jasad yang dibiar mereput |
Tambahan, Ratu Sakti
Pancering Jagat tidak sekadar dipuja sebagai pelindung Kampung Trunyan.
Malahan, beliau turut dikaitkan dengan Gunung Batur sebagai lambang kekuatan
alam. Dalam kalangan masyarakat tempatan, Ratu Sakti Pancering Jagat dikenali
sebagai Datonta dan sebagai tanda penghormatan, mereka mendirikan sebuah tugu
khusus di tempat yang hanya dapat dimasuki oleh penduduk tempatan.
TERJEMAHAN
Wu Mingren. (7 Jun 2019). The Decomposing Bodies of Skull Island: The Unique
Funerary Custom of Trunyan. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/skull-islan-0012110
- Get link
- X
- Other Apps





