- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Di samping iklim dan
persekitarannya yang unik, Iceland turut tersohor dengan kekayaan sejarah
khususnya berkaitan Viking yang pada hari ini jejak tinggalannya masih
terpelihara dengan baik sama ada pada sudut bahasa mahupun budaya.
Antara bahagian paling menarik
dalam sejarah negara tersebut tentulah berkaitan kisah penerokaannya oleh
masyarakat Norse yang dikreditkan kepada seorang Viking bernama Hrafna-Flóki
Vilgerðarson. Nama beliau pada hari ini diabadikan sebagai salah satu watak
dalam sebuah siri televisyen tersohor, berjudul Vikings.
Bangsa Viking baik yang
berasal dari Norway, Sweden, dan Denmark sememangnya terkenal dengan kemahiran
perlayaran mereka. Bagi sebilangan Viking, semangat untuk meneroka
daratan-daratan baru banyak didorong oleh kemiskinan dan kekurangan tanah untuk
bercucuk tanam.
Bagi sebilangan yang
lain pula, penerokaan tanah baru dianggap sebagai suatu cara untuk lari dari
cukai, undang-undang, dan penumpahan da.rah. Ada juga yang dahagakan
kemasyhuran, justeru memilih untuk berlayar jauh demi menempa nama.
Hrafna-Flóki Vilgerðarson adalah salah seorang daripada mereka.
Di saat
pengemuka-pengemuka Viking di Sweden berlayar ke timur menuju Slav dan
Byzantine, Viking-Viking di Norway pula meredahi lautan luas di barat demi
mencari pulau-pulau baru untuk dihuni.
Kepulauan British
merupakan salah sebuah tempat terawal yang disa.sarkan oleh Viking. Mereka tiba
di sana buat kali pertama pada tahun 793 Masehi dan semenjak itu, pengaruh
mereka di pantai British semakin teguh. Bagaimanapun, kepulauan tersebut sudah
pun berpenghuni justeru kehadiran Viking di sana menerima ten.tangan.
Sebahagiannya pula berasimilasi dengan penduduk tempatan.
![]() |
Lukisan Oscar Wergeland (1909) menggambarkan konvoi yang meneroka Iceland |
Kepulauan Shetland yang
sedikit jauh dari pulau-pulau British yang lain menjadi sa.saran berikutnya. Ia
dijadikan sebagai pangkalan untuk meneruskan perlayaran-perlayaran selanjutnya
ke barat. Viking kemudian meneroka Kepulauan Faroe yang berjarak 670 kilometer
dari Norway.
Sebagai daratan yang
kaya dengan sumber alam, Kepulauan Faroe dengan pantas dibanjiri pendatang
Viking. Oleh kerana itu, timbul keperluan untuk mencari daratan baru.
PENEMUAN ICELAND SECARA
TIDAK SENGAJA OLEH NADDOÐR DAN GARÐAR
Iceland terletak
kira-kira 420 kilometer arah barat dari Kepulauan Faroe. Penerokaan Iceland
selalunya dikaitkan dengan Hrafna-Flóki Vilgerðarson memandangkan beliau
merupakan Viking pertama yang mendirikan komuniti di sana.
Bagaimanapun, beliau
bukanlah Viking pertama yang menjumpainya. Kredit tersebut diberikan kepada
Naddod (Naddoðr), salah seorang penghuni awal Kepulauan Faroe yang berasal dari
Norway. Cuma, beliau menjumpai Iceland secara tidak sengaja ketika berlayar
dari Norway menuju Kepulauan Faroe.
Dalam perjalanan,
beliau tersesat dan terkeluar daripada haluan asal lalu tiba di pantai Iceland.
Beliau cuba meninjau keadaan sekeliling untuk mencari kelibat manusia, namun
tidak menjumpai seorang pun. Sebelum sambung berangkat ke timur dan menuju ke
Kepulauan Faroe yang menjadi destinasi asalnya, Naddod sempat menamakan tanah
tempat beliau terdampar sebagai Snæland (Snowland).
![]() |
Laluan yang diambil oleh ketiga-tiga peneroka awal Iceland |
Individu berikutnya
yang tiba di Iceland juga sampai ke sana secara tidak sengaja. Nama beliau
ialah Garðar Svavarsson, seorang warga Denmark yang beristerikan wanita dari
Hebrides, Scotland. Pada tahun 860 Masehi, beliau berlayar ke Hebrides untuk
menuntut hartanya di sana.
Dalam perjalanan, badai
ribut menghen.tam kapalnya justeru membuatkan beliau tersa.sar jauh dari haluan
dan tiba di Iceland. Memandangkan Iceland merupakan lokasi yang belum diketahui
dalam kalangan masyarakat Norse, maka Garðar pun cuba mengelilinginya.
Setelah memastikan yang
ia merupakan sebuah pulau, beliau pun berlabuh di pantai utara Iceland dan
mendirikan sebuah rumah lalu menetap di sana sepanjang musim sejuk. Pada hari
ini, tempat tersebut dikenali sebagai Húsavík dan dipelihara sebagai tempat
bersejarah.
Sekembalinya ke pangkuan
keluarga, Garðar cuba berkongsi cerita perihal tanah baru yang dijumpainya itu
– beliau menamakannya sebagai Garðarshólmi, bersempena namanya sendiri. Namun
masih, tiada Viking yang cuba berlayar ke sana kecuali Hrafna-Flóki
Vilgerðarson.
PERLAYARAN FLÓKI KE
ICELAND
Sebaik sahaja mendengar
berita tentang Iceland, Flóki langsung sahaja menanam hasrat untuk membina
kehidupan baru di sana. Dengan ditemani oleh isterinya, Gró dan lima orang
anaknya (dua perempuan; Oddleifur dan
Þjóðgerður, serta tiga orang lelaki; Herjólfr, Faxi, dan Thorolf), Flóki
pun memberangkatkan kapal panjangnya dari Norway Barat menuju Kepulauan
Shetland, dan dari sana menuju Iceland.
Kisah pengembaraannya
yang tercantum dalam Saga Landnámabók bagaimanapun menceritakan betapa
perjalanan beliau dari Shetland dimulai oleh satu kema.langan. Anak perempuannya
ma.ti le.mas di sana. Namun, beliau tetap cekal meneruskan perjalanan sehingga
tiba di Kepulauan Faroe.
Ketika berada di sana,
anak perempuannya yang lain mendirikan rumah tangga. Usai mengisi semula
bekalan dan membeli tiga ekor gagak, Flóki berangkat bagi mencari Iceland. Penggunaan
gagak untuk mencari daratan sememangnya merupakan kaedah lazim yang diamalkan
oleh masyarakat Norse.
Sebaik berada di
kawasan yang dirasakan hampir dengan daratan, mereka akan melepaskan gagak.
Jika gagak tersebut terbang ke satu haluan tanpa pulang, maka ia dilihat
sebagai petanda yang ia sampai ke daratan yang dicari. Haluan itu pun
kemudiannya diikuti oleh si pelayar.
![]() |
Gagak amat penting bagi Viking mencari daratan baru |
Bagi Flóki, gagak
pertama yang dilepaskannya hanya kembali ke Kepulauan Faroe. Hal ini menandakan
bahawa daratan yang mereka cari masih lagi jauh. Setelah berlayar untuk
beberapa tempoh, beliau melepaskan burung kedua. Ia sempat terbang buat
seketika sebelum kembali ke tiang utama kapal.
Setelah berlayar lebih
jauh, Flóki melepaskan gagak terakhirnya. Gagak tersebut terbang terus ke barat
tanpa kembali lagi sekali gus menandakan destinasi yang dicari Flóki sudah
berada hampir. Tebing pertama yang mereka jumpai kini dikenali dengan nama
Reykjavik, ibu negara Iceland.
Mereka berlabuh di
barat laut pulau, di tempat yang kini dikenai sebagai Westfjord (Vestfirðir).
Flóki sendiri meluangkan musim sejuk beliau di Vatnsfjörður yang didirikan di
sebuah teluk bernama Breiðafjörður.
Musim panas mereka di
Iceland berlangsung baik memandangkan banyak ikan dapat ditangkap. Namun,
keadaan sebaliknya berlaku di musim sejuk. Untuk meninjau kawasan yang lebih
strategik, Flóki mendaki puncak tertinggi dan dari sana ia melihat sebuah
tebing besar yang dipenuhi tompokan salji – justeru meraihkannya nama Ísland,
atau Ice Land.
Sejurus musim bunga
tiba, Flóki pun pulang ke Norway dan menceritakan tentang keadaan Iceland
kepada masyarakatnya. Bagi dirinya sendiri, rupa bumi Iceland tidak sesuai
untuk dihuni. Namun, pendapat beliau tidaklah dikongsi oleh kesemua anak
kapalnya. Ada juga yang berpuas hati dengan Iceland.
![]() |
Pertapakan Viking di Iceland merintis penerokaan tanah-tanah baru di barat seperti Greenland dan Newfoundland |
Dengan pantas, berita
tentang Iceland tersebar. Ekspedisi baru dirancangkan, kali ini diketuai oleh
Ingólfr Arnarson yang bermatlamat meneroka Iceland sepenuhnya. Beliau
bertanggungjawab mendirikan petempatan di sebuah teluk pada 874 Masehi, di mana
petempatan ini kemudian berkembang menjadi Reykjavik.
Bagi Flóki, walaupun
mulanya beliau kecewa dengan Iceland kerana menganggap bumi itu tandus dan
tidak sesuai untuk dihuni, beliau tetap juga kembali ke sana untuk meluangkan
sisa hayat bersama isterinya. Ternyata, Iceland tidaklah tandus seperti yang
disangkanya.
Komuniti Norse di sana
berkembang dari semasa ke semasa, sehingga ia menjadi pangkalan untuk
melanjutkan perlayaran lebih jauh ke barat seperti Greenland (diteroka pada 985
M) dan Newfounland(diteroka pada 1001 M).
TERJEMAHAN
Aleksa Vučković. (17 Julai 2020). Settlement of Iceland: Viking
Hrafna-Flóki’s Real Journey. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/viking-hrafna-floki-0013995
- Get link
- X
- Other Apps