- Get link
- Other Apps
- Get link
- Other Apps
Amir Zayyanid
Katak dan kodok mungkin
bukanlah pilihan utama dalam kalangan pencinta haiwan. Namun masih, ia
merupakan sebahagian daripada kenangan zaman persekolahan yang dikongsi oleh kebanyakan
pelajar aliran sains. Sejarah juga mempunyai tempat yang khusus buat katak. Ia
muncul dalam pelbagai legenda, kepercayaan, dan kesenian dunia.
Bagi tamadun Mesir
Purba misalnya, katak dilihat sebagai simbol kehidupan dan kesuburan. Hal ini
kerana haiwan tersebut membiak dengan banyak seiring limpahan Sungai Nil yang
berlaku secara tahunan – suatu peristiwa yang dianggap sebagai nadi buat
tamadun Mesir kerana ia menyuburkan tanah di sekelilingnya.
Justeru dalam panteon
mereka, terdapat beberapa figura katak yang dipuja. Antaranya Heqet si dewi
berkepala katak dan Kek si dewa berbentuk katak. Tamadun Mesopotamia juga
mengaitkan katak dengan unsur yang lebih kurang sama. Ia muncul sebagai salah
satu watak yang terlibat dalam perteling.kahan antara Dewi Inanna dan Dewa Enki
– suatu kon.flik yang boleh disamakan dengan kon.flik Athena-Ares dan
Amaterasu-Susanoo.
Dalam legenda Yunani, katak mungkin paling sinonim dengan dongengan Aesop. Setidak-tidaknya, terdapat lapan buah kisah berkaitan katak terkandung di dalam fabel beliau yang usianya menjangkau pertengahan kurun ke-6 Sebelum Masehi. Antaranya adalah kisah Dua Ekor Katak, Katak dan Lembu, dan Katak Yang Menginginkan Raja.
Bagi masyarakat China,
katak umumnya dikaitkan dengan kesembuhan, keabadian, dan keberuntungan
(khususnya dalam perniagaan). Adakalanya, ia turut diasosiasikan dengan tenaga
bulan. Legenda utama perihal katak dalam tamadun China adalah legenda yang
melibatkan Liu Hai, seorang cendekiawan kurun ke-10 Masehi yang dipuja sebagai
salah satu dewa Tao.
Legenda ini kemudian
dibawa ke Jepun lalu melahirkan legenda Gama-Sennin, atau kadangkala
disebut sebagai Kosensei. Signifikasi katak dalam literasi Jepun
diserlahkan lagi menerusi Jiraiya Gōketsu Monogatari,yang diterbitkan
pada tahun 1839. Hari ini, kandungan naskhah tersebut dihidupkan semula hasil
sentuhan Masashi Kishimoto dalam karyanya, Naruto.
Di Barat, katak dilihat
sebagai azimat – sama ada untuk tujuan baik mahupun jahat. Hal ini bertitik
tolak daripada sifat sebahagian spesis katak itu sendiri (katak puru misalnya)
yang mengandungi ra.cun dan zat halusinogen. Efek halusinasi sebagai penenteram
emosi membuatkan ekstrak katak dipandang penting dalam kelangsungan ritual
keagamaan tertentu.
Bercerita dalam konteks
agama, nama katak turut muncul dalam al-Qur’an ketika Allah SWT menceritakan
perihal tujuh mu.sibah yang melanda bumi Mesir saat firaun mengingkari ajaran
Nabi Musa alaihissalam – pertama sebagai a.zab dan teguran terakhir buat firaun,
kedua sebagai mukjizat yang membenarkan baginda Nabi Musa, dan ketiga sebagai
bukti rahmat Allah yang memberi peluang dan peluang buat manusia seangkuh
firaun.
Dua mu.sibah awal
berlaku dalam bentuk kemarau dan kegagalan tuaian buah-buahan; “Dan
sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan
kekurangan buah-buahan supaya mereka insaf mengambil pelajaran.” (Al-A’raf:
130)
Mu.sibah panjang ini
kemudian dihilangkan. Namun sayang, firaun masih enggan beriman. Allah kemudian
menghantar lima mu.sibah lain secara bersilih ganti, yang salah satunya adalah
gerombolan katak; “Maka Kami kirimkan kepada mereka taufan, belalang, kutu,
katak, dan darah sebagai bukti yang jelas. Tetapi mereka tetap menyombongkan
diri dan mereka adalah kaum yang menderhaka.” (Al-A’raf: 133)
Kisah serupa juga
terkandung di dalam Kitab Keluaran (Book of Exodus), di mana gerombolan
katak yang memenuhi setiap jalan disifatkan sebagai satu daripada sepuluh
mu.sibah yang melanda Mesir.
RUJUKAN
Ashley Cowie. (7
Februari 2018). An Ambiguous Amphibian: The Everchanging Frog Symbol in
World Myth. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/ambiguous-amphibian-everchanging-frog-symbol-world-myth-009560
Syafiq Salleh. (19 Ogos
2014). Teguran Terakhir Buat Firaun. Ikim FM.
https://ikimfm.my/teguran-terakhir-buat-firaun/
Gabi Greve. (25
Februari 2018). Gama Sennin Toad. Gokuraku Paradies.
https://gokurakuparadies.blogspot.com/2018/02/gama-sennin-toad.html
- Get link
- Other Apps