- Get link
- Other Apps
- Get link
- Other Apps
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Mohor merupakan alat
kebesaran yang penting bagi setiap institusi diraja, termasuklah Empayar China
Purba. Ia turut digunakan sebagai tanda pengenalan dalam karya seni, kertas
kontrak, mahupun dokumen penting bagi membuktikan ketulenannya.
Mohor secara umum
diperbuat daripada batu. Namun, ada juga yang dihasilkan daripada kayu dan jed.
Antara sekalian banyak mohor yang dimiliki oleh negara tembok besar itu, tiada
yang dapat menandingi keutamaan mohor Chuán Guó Xǐ.
Mohor ini diukir
daripada sebentuk batu jed yang dinamakan sebagai He Shi Bi. Ia dihasilkan
pada tahun 221 Sebelum Masehi khusus untuk Qin Shi Huang. Relik pusaka ini
kemudian diperturunkan dari seorang maharaja ke seorang maharaja dan dari satu
dinasti ke satu dinasti sehingga tahun 907-960 Masehi, tempoh di mana ia hilang
tanpa jejak.
Menurut legenda, jed He
Shi Bi dijumpai di Chu (kini Hubei, Hunan dan sebahagian Shanghai) oleh seorang
lelaki bernama Bian He. Penemuan ini berlaku pada suatu tempoh sebelum tahun
283 SM. Jauhar mengenali manikam dan Bian He bijak menilai batu jed yang
dijumpainya. Maka, beliau pun mempersembahkan jed tersebut kepada Raja Li,
pemerintah Negara Chu ketika itu.
Malangnya, Raja Li tidak
pandai membezakan yang mana kaca dan yang mana permata. Dia malah mentertawakan
Bian He kerana membuang-buang waktu hanya untuk menunjukkan seketul batu. Lebih
dungu, Raja Li menitahkan supaya kaki kiri Bian He diku.dungkan.
Ilustrasi legenda He Shi Bi, dan gambaran batu jed yang masih belum diukir |
Masa bergulir dan
riwayat si raja berakhir. Takhta Chu diambil-alih oleh Wu, putera Raja Li.
Seakan tidak serik, Bian He sekali lagi mempersembahkan jed He Shi Bi kepada
si raja. Namun, nasib sama berulang kembali. Beliau ditertawa dan dica.catkan
kakinya.
Waktu terus berlalu. Wu
ditamu ajal. Mahkota Chu kali ini dipakaikan di kepala puteranya, Wen.
Bagaimanapun pada ketika ini, Bian He sudah pun membawa diri dan jed He Shi
Bi ke kaki Gunung Chu – meratap tiga hari tiga malam sehingga air matanya
kering dan da.rah pula yang mengalir.
Perilaku Bian He
dikhabarkan ke istana. Si raja lantas menghantar utusan untuk bertanyakan
sebab-musabab. Katanya, “Di muka bumi yang dibumbungi langit ini, ada ramai
manusia yang kehilangan kakinya. Jadi, mengapa kamu meratap sebegini?”
Balas Bian He, “Aku
bukannya meratapi kaki aku. Tetapi, aku berduka nestapa kerana batu berharga
ini dipandang sebelah mata dan orang yang jujur pula ditu.duh sebagai pendus.ta.
Tiada sebab lain, kecuali dua sebab ini.”
Dek kerana tersentuh
dengan luahan Bian He, Raja Wen kemudian menitahkan supaya tukang permata
istana membe.lah dan menggilap batu jed tersebut. Tukul dihayun, lalu terpacul
keluarlah kepingan jed tulen terbesar yang pernah disaksikan oleh Wen.
Bagi menghargai jasa
Bian He, si raja pun menamakan jed tersebut sebagai He Shi Bi yang
membawa maksud, ‘Cakera Jed He’.
Masa berganjak. Pada
tahun 283 SM, jed He Shi Bi dicu.ri dari Raja Chu lalu dijual ke Negara
Zhao. Jed tersebut turut diincari oleh Raja Qin yang menawarkan sebanyak 15
buah kota bagi membelinya daripada Raja Zhao.
Ibarat mendapat durian
runtuh, Raja Zhao pada mulanya memberi kata setuju. Namun, beliau disapa
keraguan dan kekhuatiran kalau-kalau Raja Qin menipu. Justeru, Raja Zhao pun
menitahkan tukang permata istana supaya mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat
kero.sakan kecil pada He Shi Bi.
Namun, tipu-helah
tersebut tidak mempan pada rombongan yang dihantar oleh Raja Qin. Dek kerana
itu, si tukang permata Zhao pun mengu.gut untuk menghan.curkan jed tersebut andai
Qin masih bersikeras mahu meram.pasnya.
He Shi Bi
cukup berharga untuk diperta.ruhkan dengan keangkuhan. Maka, Raja Qin tidak
segan untuk akur dengan permintaan Zhao. Qin bagaimanapun menebus jua
penghinaan yang diterimanya itu.
Pada tahun 221 SM, Qin
Shi Huang menak.luki kesemua enam negara China yang saling berpe.rang. Negara
Zhao tidak terkecuali. He Shi Bi juga berjaya dimiliki. Jed tersebut
lantas diukir menjadi simbol peribadi Qin Shi Huang. Padanya ditatahkan
kata-kata, “Menerima mandat daripada langit. Moga-moga maharaja panjang umur
dan pemerintahannya makmur.”
Semenjak itu, He Shi
Bi menjadi Mohor Diraja China (Chuán Guó Xǐ ) dan diperturunkan dari
generasi ke generasi tanpa mengira dinasti. Ia dijunjung sebagai regalia
Dinasti Qin, Dinasti Wei, Dinasti Jin, Dinasti Sui, dan Dinasti Tang.
Mohor Chuán Guó Xǐ pernah menjadi re.butan pada Zaman Tiga Kerajaan China |
Malangnya, mohor
berharga ini hilang dari literasi sejarah pada zaman Lima Dinasti dan Sepuluh
Kerajaan (907-960 Masehi). Sejarahwan bagaimanapun berpandangan yang ia hilang
secara rasmi pada zaman Dinasti Ming (1368-1644 M).
Pada hari ini, Kota
Larangan menyimpan sebanyak 25 mohor diraja – walaupun ia tentunya kurang
signifikan jika dibandingkan dengan Chuán Guó Xǐ. Wujud fizikalnya
mungkin telah pun hilang tanpa kesan. Namun, sejarahnya tidak pernah dilupakan.
TERJEMAHAN
Kerry Sullivan. (19 Disember 2016). The Legend of the Imperial Jade Seal of
China, An Heirloom Lost in Time. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/legend-imperial-jade-seal-china-heirloom-lost-time-007220
- Get link
- Other Apps